Pelanggan Mekdi buat laporan polis, dakwa diugut kumpulan boikot - The Reporter

Pelanggan Mekdi buat laporan polis, dakwa diugut kumpulan boikot

Gambar hiasan | Google Images

Polis sedang mengesan seorang lelaki yang didakwa melakukan provokasi dan ugutan terhadap pelanggan di sebuah restoran makanan segera McDonald’s di Sungai Isap.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, laporan polis telah dibuat oleh seorang lelaki berumur 40 tahun berhubung insiden yang berlaku pada pukul 10.25 malam kelmarin.

Berdasarkan laporan, beberapa lelaki yang sedang berkempen memboikot restoran McDonald’s telah memanggil pengadu dan mengeluarkan kata-kata kesat serta melakukan provokasi.

Walaupun pengadu cuba menghindari mereka dengan masuk semula ke dalam premis McDonald’s, kumpulan lelaki itu sekali lagi melakukan provokasi apabila pengadu keluar untuk pulang ke rumah.

Semasa pengadu cuba menghampiri kumpulan itu, salah seorang dari kumpulan itu dikatakan telah mengambil topi keledar dan mengugut akan memukul pengadu. Namun, situasi itu berjaya dileraikan oleh isteri pengadu.

“Pengadu kemudiannya datang ke balai polis bagi membuat laporan dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” kata Wan Mohd Zahari.

Polis telah merakam percakapan pengadu dan saksi serta melakukan semakan kamera litar tertutup (CCTV) di premis tersebut. Siasatan awal menunjukkan bahawa suspek mengugut memukul pengadu dengan topi keledar kerana pengadu masuk untuk makan di premis McDonald’s.

Sumber: Kosmo! Online

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!