'Menyalak macam anjing’, pelanggan kesal dihina ketika guna MySARA | The Reporter

‘Menyalak macam anjing’, pelanggan kesal dihina ketika guna MySARA

Pelanggan sedang berbincang dengan staf pasar raya berkaitan isu pembayaran MySARA
Pelanggan dakwa dimaki dan diperli oleh staf ketika ingin membuat bayaran menggunakan MySARA | Gambar dari video tular

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang pelanggan dikenali sebagai Zanah mendakwa dimaki dan diperli oleh kakitangan pasar raya di Cheras selepas cuba membuat bayaran menggunakan MySARA sekitar jam 9.15 malam, walaupun kaunter sepatutnya dibuka sehingga jam 10 malam.

Menurut Zanah, dia bersama adiknya telah selesai memilih barang dan beratur untuk membuat bayaran menggunakan MySARA. Namun, mereka dimaklumkan oleh seorang staf bahawa semua kaunter MySARA telah ditutup pada jam 9 malam. Hal ini mengejutkan kerana pada bulan sebelumnya, Zanah pernah beratur sekitar jam 9.30 malam dan masih dilayan.

Apabila ditanya kenapa tiada pengumuman dibuat, staf berkenaan memberi alasan mikrofon rosak dan hanya ada notis di kaunter. Namun selepas Zanah pergi sendiri ke kaunter utama untuk bertanya, staf di sana mengesahkan tiada notis diletakkan. Malah, staf tersebut memberitahu bahawa alasan kaunter ditutup awal adalah kerana mahu balik awal dan menyelesaikan pengiraan.

Diperli staf lain

Situasi menjadi lebih tegang apabila Zanah menjelaskan adiknya tidak mempunyai pengangkutan untuk datang semula keesokan hari, selain rumahnya sudah kehabisan beras. Selepas mendapat kebenaran untuk membayar di kaunter MySARA, Zanah mendakwa dirinya diperli dan dimaki oleh staf lain yang tidak berpuas hati.

Dia mendakwa diperli dengan kata-kata seperti “menyalak macam anjing” dan disuruh “berambus” walaupun dia tidak menggunakan kata-kata kesat. Hanya selepas Zanah mula merakam, barulah staf tersebut diam dan tidak lagi mengeluarkan kata-kata kasar. Zanah turut menegaskan bantuan MySARA adalah hak rakyat dan tidak sepatutnya dijadikan bahan ejekan oleh staf.

Dalam kemas kini terbaharu, Zanah memaklumkan telah berjumpa dengan pengurus pasar raya dan staf terlibat. Pihak pengurusan mengesahkan kaunter MySARA sebenarnya dibuka dari jam 9 hingga 10 malam dan tiada notis rasmi untuk menutupnya lebih awal. Staf yang terlibat juga telah tampil memohon maaf, mengakui kesalahan dan tekanan kerja telah mempengaruhi emosinya ketika itu.

Zanah juga menyatakan dia tidak mahu sebarang tindakan dikenakan ke atas staf berkenaan kerana sudah memaafkannya. Namun, dia berharap isu ini dijadikan pengajaran agar pelanggan tidak dimaki atau diperli, walaupun staf berdepan tekanan kerja, selagi pelanggan tidak bertindak kasar.

Related Posts