'Pelanggan desak krew kami keluarkan resit bayaran pembelian sos cili' - McDonald's buat laporan polis, nafi kenakan bayaran untuk sos cili tambahan - The Reporter

‘Pelanggan desak krew kami keluarkan resit bayaran pembelian sos cili’ – McDonald’s buat laporan polis, nafi kenakan bayaran untuk sos cili tambahan

Baru-baru ini tular kenyataan seorang pelanggan di sebuah restoran makanan segera McDonald’s yang mendakwa dia telah dikenakan bayaran untuk mendapatkan sos cili tambahan.

“Hidup makin keras. Nak minta sos lebih pun kena caj dah. Done 10 paket sos cili RM 10.60.

“Tahniah Mc Donald’s Ayer Keroh kerana mengambil langkah proaktif selaras kenaikan harga beras dunia,” tulis dakwaan itu.

Susulan itu, McDonald’s Malaysia menjalankan siasatan dalaman.

Dalam satu kenyataan, pihak Mc Donald’s menjelaskan, selepas menjalankan siasatan dalaman dan meneliti rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV), mereka mendapati berlaku kesilapan awal daripada krew restoran. Di mana pelanggan diberikan jumlah sos cili yang tidak mencukupi secara tidak sengaja.

Pelanggan desak krew keluarkan resit bayaran

“Kakitangan kami kemudian dengan segera menyediakan bungkusan tambahan sos cili apabila diminta oleh pelanggan berkenaan.

“Walau bagaimanapun, pada masa itu, pelanggan itu menjadi sangat marah dan agresif secara lisan terhadap kakitangan kami. Pelanggan itu mendesak untuk melakukan pembayaran bagi 10 bungkusan tambahan sos cili. Dan menggesa krew kami untuk mengeluarkan resit bagi pembelian ini.

“Walaupun krew kami cuba untuk menjelaskan bahawa sos cili disediakan secara percuma. Pelanggan berkenaan dengan marah, tetap mahu dikenakan bayaran bagi 10 cili terbabit,” kata McDonald’s Malaysia.

McDonald’s buat laporan polis

McDonald’s Malaysia melahirkan rasa sangat kecewa dengan tindakan pelanggan yang bukan sahaja menunjukkan sikap agresif terhadap kakitangan syarikat itu, malah turut menyebarkan maklumat yang tidak tepat mengenai insiden ini di media sosial.

“Kami telah melaporkan insiden ini kepada polis untuk memastikan keselamatan krew selepas mengambil kira perbuatan agresif pelanggan itu.

“Kami ingin menegaskan bahawa McDonald’s Malaysia menawarkan semua pelanggan sos cili tanpa sebarang kos tambahan.

“Tambahan pula, di McDonald’s Malaysia, kami menghormati anggota krew kami sebagai barisan hadapan yang sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang luar biasa kepada rakyat Malaysia pada setiap masa.

“Kesejahteraan mereka akan sentiasa menjadi keutamaan kami yang paling utama,” katanya.

Tinjaun di ruangan komen portal rasmi restoran tersebut mendapati ada komen-komen nakal yang meminta diskaun daripada pihak restoran sekiranya mereka membawa sos cili sendiri dari rumah.

Sumber: Mc Donald’s, Berita Harian

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!