Sebuah kemalangan jalan raya berlaku di KM 1.3 Lebuhraya SILK pada Rabu kira-kira pukul 6 pagi, melibatkan sebuah kereta mewah jenis Ferrari yang dipandu seorang pelajar universiti berusia 20 tahun.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, siasatan awal mendapati kenderaan tersebut hilang kawalan sebelum melanggar batu pembahagi jalan dan seterusnya terbabas ke bahu kiri jalan.
“Akibat kemalangan itu, kenderaan milik bapa pemandu mengalami kerosakan di bahagian hadapan dan belakang.
“Pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Baca juga:
- Tun Mahathir, Siti Hasmah cipta rekod ASEAN dan Asia
- Warga emas maut disambar buaya ketika cari siput, anak saksikan detik tragis
- ‘Hampir 99% ke Mekah’- MP Langkawi dedah kisah pemilihan parti ketika bahas RCI TH
Nazroon berkata, individu berkenaan telah disiasat dan dikenakan saman di bawah Kaedah 10, LN 166/59 kerana memandu secara cuai dan gagal mengawal kenderaan dengan baik sehingga menyebabkan kemalangan.
Beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya untuk sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah, mematuhi peraturan lalu lintas, dan berhati-hati bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.








