Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Sungai Petani, Kedah dilaporkan meninggal dunia selepas menyertai aktiviti larian merentas desa, hari ini.
Memetik laporan Harian Metro, Muhammad Haziq Uzayr Hairuddin, 16, yang sebelum ini aktif bersukan dipercayai rebah sebaik tiba di garisan penamat selepas menamatkan larian enam kilometer.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, guru bertugas bersama beberapa pelajar yang juga ahli Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) membawa pelajar itu ke khemah berhampiran dan memberikan bantuan pertolongan cemas.
Bagaimanapun ujarnya, pelajar berkenaan tidak memberikan sebarang tindak balas ketika bantuan kecemasan diberikan. Guru bertugas kemudiannya telah menghubungi ambulans dan mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).
Semasa dalam perjalanan ke hospital katanya, pelajar terbabit telah meninggal dunia.
“Hasil temu bual dengan bapa mangsa mendapati anak mereka sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit selain aktif bersukan.
“Semakan juga mendapati bapa mangsa memberi kebenaran bertulis membenarkan anaknya menyertai acara sukan terbabit,” katanya.








