Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang pelajar perempuan Tingkatan Enam ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah selepas disahkan positif dadah ketika melalui pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.
Pelajar berusia 19 tahun dari Jitra itu dipercayai pulang bercuti dari Dannok, Thailand, bersama teman lelakinya berusia 25 tahun dengan menaiki motosikal.
Menurut remaja berkenaan, dia mengikuti teman lelaki ke negara jiran sempena cuti umum sambutan Hari Kebangsaan sebelum pulang semula ke tanah air sekitar jam 6 pagi. Namun, hasil ujian saringan awal mendapati kedua-duanya positif dadah jenis pil ekstasi.
“Saya ikut dia (teman lelaki) sebab risau dia pergi dengan perempuan lain. Saya cuma ambil pil ekstasi untuk berhibur,” katanya.
Baca juga:
- Wanita dakwa suami ditembak polis, rupanya kekasih suspek & miliki 10 rekod jenayah
- Hanya 40 minit ke Indonesia, Melaka rancang bina jambatan 47.7km rentasi laut
- ‘Jangan paksa kerajaan iktiraf UEC’ – Tok Mat tegaskan soal identiti kebangsaan
Katanya lagi, ibu bapanya mengetahui dia bercuti ke Thailand tetapi tidak mengetahui dirinya terjebak dengan dadah.
Dalam pemeriksaan sama, AADK turut menahan seorang ibu tunggal berusia 30 tahun dari Pokok Sena bersama teman lelakinya berusia 25 tahun selepas kedua-duanya turut dikesan positif dadah.
Wanita itu mengaku mengambil pil ekstasi untuk berhibur bersama pasangannya di Pekan Dannok sebelum pulang ke Malaysia.
Kesemua individu berkenaan ditahan untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.
Sumber: Berita Harian








