Rentetan kes kematian pelajar SMKA Tun Datu Mustapha Limauan (TDML), Zara Qairina Mahathir, warga sekolah mendakwa mereka kini berdepan tekanan emosi yang semakin serius.
Seorang guru sekolah itu, Amit Hamid, dalam hantaran di Facebook mendedahkan bagaimana pelajar sering diejek dengan jeritan “pembunuh” dan “pembuli” daripada kenderaan yang lalu-lalang di hadapan sekolah. Situasi itu menjejaskan emosi pelajar seolah-olah seluruh komuniti sekolah dianggap bersalah.
Kebimbangan meningkat, ada yang berpindah sekolah
Menurut Amit, keresahan ibu bapa semakin memuncak sehingga ada pelajar memilih untuk berpindah ke sekolah lain.
Jumlah ini dijangka bertambah jika tekanan berterusan. Warga sekolah juga bimbang sentimen negatif yang tular di media sosial, termasuk kempen boikot sekolah akan merosakkan imej institusi pendidikan agama.
Baca juga:
- ‘Takdak kedai Siam susah kami nak makan’ – Kieda Crepe
- ‘Masyarakat tidak nilai berapa banyak bintang di bahu kita’ – Ayob Khan
- Tingkatan Enam kekal bawah KPM
Tuntut keadilan, tolak fitnah
Dalam kenyataannya, Amit menegaskan warga SMKA TDML turut mahukan keadilan buat Allahyarhamah Zara Qairina dan tidak pernah menyembunyikan fakta mengenai kes berkenaan. Beliau berkata pihak berkuasa telah menjalankan tugas sejak hari pertama, manakala warga sekolah sentiasa memberikan kerjasama penuh.
“Yakinlah pada Allah Yang Maha Berkuasa,” tulisnya.
Rayuan agar pelajar diberi ruang
Sehubungan itu, Amit merayu agar pelajar tidak diganggu, sebaliknya diberi ruang untuk menumpukan perhatian terhadap peperiksaan SPM dan STPM yang semakin hampir.
“Kami merayu dan memohon jangan ganggu anak-anak kami yang tidak bersalah. Kami sayangkan sekolah ini,” katanya.
Sumber: Facebook Amit Hamid








