Pegawai SPRM yang obes tidak layak naik pangkat mulai tahun depan | The Reporter

Pegawai SPRM yang obes tidak layak naik pangkat mulai tahun depan

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dan ilustrasi pegawai obes memegang penimbang berat badan
SPRM perkenal dasar baharu, pegawai dengan BMI melebihi 27 tidak layak naik pangkat bermula Januari 2026

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Mulai Januari 2026, semua pegawai dan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diwajibkan mengekalkan tahap berat badan sihat sekiranya ingin menikmati kenaikan pangkat.

Langkah tegas itu menetapkan indeks jisim badan (BMI) maksimum 27 sebagai salah satu syarat utama kelayakan. Ketetapan baharu ini menjadi sebahagian usaha jabatan memastikan warga kerjanya lebih cergas dan bersedia mendepani cabaran tugas.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tempoh kira-kira enam bulan diberikan untuk semua kakitangan menurunkan berat badan sebelum peraturan dikuatkuasakan secara rasmi.

“Tiada kenaikan pangkat bagi pegawai yang melebihi BMI 27 bermula Januari depan. Kita mahu budaya kerja sihat yang boleh mencerminkan imej SPRM sebagai organisasi profesional,” katanya dalam sidang media di Kota Bharu.

Beliau menjelaskan, amalan ini bukanlah perkara baharu dalam kalangan agensi penguatkuasaan kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini sudah lebih awal menetapkan had BMI 26 bagi anggota mereka.

Pemeriksaan berkala untuk pantau tahap kesihatan

Sebagai langkah sokongan dan pemantauan berterusan, semua pejabat SPRM di seluruh negara akan melaksanakan pemeriksaan kesihatan berkala setiap tiga bulan di hospital kerajaan. Langkah ini diharap membantu mengenal pasti masalah kesihatan lebih awal sekali gus memberi peluang kepada kakitangan mengambil tindakan sewajarnya.

Azam berkata, setiap pegawai perlu memainkan peranan aktif memastikan tahap kesihatan diri berada pada tahap terbaik agar mutu perkhidmatan tidak terjejas.

“Kita tidak mahu langkah ini dilihat sebagai hukuman. Sebaliknya ia adalah satu usaha mendidik supaya penjawat awam lebih peka dengan gaya hidup sihat,” ujarnya.

Tambahnya lagi, penampilan anggota yang kemas dan berketerampilan turut memberi kesan positif terhadap cara masyarakat memandang institusi itu.

Beliau turut mengingatkan, pengurusan berat badan bukan hanya berkait soal fizikal semata-mata, sebaliknya turut memberi kesan terhadap keupayaan mental dan keyakinan diri ketika melaksanakan tugas.

Sumber: Kosmo! Online

Related Posts