Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang pegawai kanan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Lembah Klang ditahan bersama dua orang awam kerana disyaki terbabit dalam kes rasuah sejak 2014.
Memetik laporan Harian Metro, lelaki berusia lingkungan 50-an dengan jawatan gred Jusa B itu ditahan di pejabatnya, semalam. Dua lagi suspek, seorang lelaki pemilik syarikat dan seorang wanita, ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya dan Kuala Lumpur.
Ketiga-tiga mereka dipercayai terbabit dalam pemberian suapan, apabila pemilik syarikat berkenaan dikatakan membayar rasuah kepada pegawai PBT tersebut bagi mendapatkan projek.
Susulan tangkapan itu, SPRM merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM150,000, empat peranti telekomunikasi, dua kenderaan jenis Lexus RX500H dan Mini Cooper, selain beg tangan serta kasut berjenama Hermes dan Louis Vuitton.
SPRM turut membekukan 19 akaun persendirian dan syarikat dengan nilai melebihi RM7 juta.
Baca juga:
- Rafizi Ramli desak keputusan segera, sedia dipecat jika langgar perlembagaan parti
- Kanak-kanak lelaki lemas, jatuh dalam Terusan Sungai Dua di Bertam
- ‘Indonesia antara negara paling selamat jika Perang Dunia III berlaku’ – Prabowo
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, menegaskan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM.
“Sekiranya benar, kita beri ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan,” katanya.








