Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang pegawai Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dikecam teruk selepas kenyataannya di media sosial tular, yang mengkritik keputusan Menteri Pendidikan untuk meneruskan peperiksaan SPM di musim banjir.
Dalam hantaran tersebut, pegawai terbabit menggunakan bahasa kasar dan menghina, termasuk menyebut menteri tersebut sebagai “minah menteri pemimpin Melayu bangsat”.
Hantaran itu berbunyi:
“Maghi MADANI KETIMBANG urus banjir… ketegaq nak mampuih minah menteri pemimpin Melayu bangsat nie… cakap orang semua dia buat noheng jea!! Hebaattt…”

Kenyataan itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan netizen kerana dianggap melampaui batas sebagai seorang penjawat awam.
Susulan itu, JAIPk mengeluarkan kenyataan rasmi menyatakan kekesalan atas tindakan pegawai terbabit. JAIPk menegaskan, pandangan tersebut adalah pendapat peribadi pegawa terbabit dan tidak mewakili jabatan. Mereka juga memaklumkan tindakan tegas akan diambil mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
“Pihak jabatan memohon maaf kepada semua pihak berhubung isu ini dan akan mengambil langkah tegas untuk memastikan perkara sama tidak berulang lagi,” menurut kenyataan itu.
Kejadian ini turut mendapat perhatian masyarakat, yang menyeru agar tindakan sewajarnya dikenakan terhadap pegawai berkenaan demi menjaga integriti penjawat awam.
Penjawat awam tidak dibenarkan mengeluarkan kenyataan bersifat menghina atau melibatkan pandangan politik di media sosial kerana mereka terikat dengan peraturan untuk kekal berkecuali dalam hal politik.
Sebagai pelaksana dasar kerajaan, penjawat awam bertanggungjawab menyokong kerajaan yang memerintah bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat berjalan lancar tanpa dipengaruhi ideologi politik peribadi. Ini juga penting untuk memelihara integriti dan profesionalisme dalam menjalankan tugas mereka.
Sumber: Facebook JAIPk








