PAS kecam pemaju halau penduduk Kampung Sungai Baru | The Reporter

PAS kecam pemaju halau penduduk Kampung Sungai Baru

Seorang lelaki berpakaian seragam maroon dengan beret maroon sedang duduk, menatap kamera.
Ahmad Fadhli tampil beri kenyataan berhubung isu pengosongan penduduk Kampung Sungai Baru. | Kredit gambar: Utusan Malaysia

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, menyifatkan tindakan pemaju mengosongkan 179 rumah di Kampung Sungai Baru semalam (11 September 2025) sebagai tergesa-gesa dan tidak berperikemanusiaan.

Beliau berkata penduduk tidak wajar diperlakukan seolah-olah penceroboh di tanah sendiri, apatah lagi rayuan mereka hanya akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 3 Oktober depan.

Menurut Ahmad Fadhli, pemaju memperoleh perintah Order 89 secara ex parte pada 20 Ogos lalu, yang membenarkan mereka memasuki kawasan termasuk membuka mangga pintu, tingkap dan bumbung rumah. Namun, katanya, perintah itu tidak memberi kuasa untuk merobohkan rumah dengan jentera berat seperti yang didakwa berlaku semalam.

Baca juga:

Operasi pengosongan itu turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan beberapa agensi lain. Dalam kekecohan yang tercetus, seorang anggota polis dilaporkan cedera ringan.

Amaran RUU URA

Ahmad Fadhli menegaskan PAS akan terus memantau isu ini dan mengingatkan bahawa insiden di Kampung Sungai Baru hanyalah gambaran awal jika Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (URA) diluluskan.

Menurutnya, RUU itu boleh memberi kuasa lebih luas kepada pemaju untuk bertindak tanpa mempertimbangkan budi bicara.

Rayuan penduduk Kampung Sungai Baru dijadualkan berlangsung pada 3 Oktober depan, sementara perbahasan RUU URA dijangka dibawa semula ke Parlimen bulan yang sama.

Related Posts