'Kerjasama parti Sarawak dengan PH sukar berlaku pada PRN akan datang'- Ahmad Maslan | The Reporter

‘Kerjasama parti Sarawak dengan PH sukar berlaku pada PRN akan datang’- Ahmad Maslan

Datuk Seri Dr Ahmad Maslan mengulas mengenai jangkaan kerjasama politik Sarawak dengan PH
Gambar: Facebook Ahmad Maslan

Kerjasama antara parti politik tempatan Sarawak dengan Pakatan Harapan (PH) dilihat sukar berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang berikutan perbezaan dinamik politik negeri itu, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.

Beliau berkata, landskap politik Sarawak berbeza berbanding negeri-negeri di Semenanjung seperti Johor dan Negeri Sembilan, khususnya membabitkan hubungan antara parti tempatan dengan DAP.

Menurut Ahmad Maslan, DAP sudah lama menjadi penentang serta musuh politik utama kepada pimpinan tempatan Sarawak, sekali gus menyukarkan kemungkinan kerjasama antara parti-parti berkenaan dengan PH.

Beliau berkata, persaingan antara parti seperti Perikatan Nasional (PN) atau gabungan lain dengan PH di peringkat negeri berlaku kerana tiada perjanjian rasmi yang mengikat kerjasama politik di peringkat kerajaan negeri.

Baca juga:

Jelasnya, Perjanjian Kerajaan Perpaduan hanya melibatkan kerjasama di peringkat Persekutuan, manakala parti-parti masih bebas bertanding antara satu sama lain dalam pilihan raya negeri.

“Kita tidak ada perjanjian di negeri. Jadi jangan marah, kita berlawan di negeri tetapi berkawan di Persekutuan. Kami memegang janji untuk menyokong Kerajaan Persekutuan sehingga tamat penggal,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad berkata kejayaan BN dalam PRN Negeri Sembilan membuktikan keberkesanan strategi jentera parti menerusi perancangan War Room BN. Beliau berkata ramalan kemenangan 25 kerusi DUN sebelum ini berjaya dicapai hasil kerja keras jentera yang ditempatkan di semua kawasan bertanding.

Sumber: Utusan Malaysia

Related Posts