• Ahli Parlimen Iran beri amaran keras kepada Trump – “bawa keranda yang mencukupi”
• Tekanan untuk keluar dari perjanjian NPT dan bina bom nuklear semakin kuat
• Rakyat Iran luah kebimbangan terhadap keselamatan dan masa depan negara
Seorang ahli Parlimen Iran memberi amaran keras kepada Amerika Syarikat (AS) selepas serangan udara yang dilancarkan oleh Presiden Donald Trump ke atas tapak nuklear Iran. Ebrahim Rezaei, jurucakap Suruhanjaya Keselamatan Negara Parlimen Iran berkata, Amerika perlu bersedia menanggung akibat jika perang tercetus.
“Bawa keranda yang mencukupi bersama pesawat B-2 kamu. Kami tidak mahu mengebumikan mayat tentera Amerika di tanah suci Iran,” katanya.
Amaran tersebut dibuat ketika suasana semakin tegang, dengan beberapa ahli Parlimen dan pemimpin kanan Iran mendesak supaya Iran membalas dendam, termasuk menyerang pangkalan tentera AS di Asia Barat serta mempercepatkan pembangunan senjata nuklear.
Adakah Iran bersedia keluar dari NPT?
Beberapa pemimpin kanan turut mencadangkan agar Iran segera keluar daripada Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) yang selama ini mengehadkan keupayaan Iran dalam membangunkan senjata pemusnah.
Seorang tokoh konservatif berkata, “Oleh kerana NPT tidak memberi sebarang manfaat atau perlindungan kepada kita, maka tinggalkan saja perjanjian itu.”
Malah, terdapat cadangan supaya Iran mula membina sehingga 20 bom taktikal menggunakan 400kg uranium yang diperkaya.
Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) turut mengeluarkan kenyataan keras bahawa tindakan AS merupakan “jenayah yang luar biasa dan belum pernah berlaku”. Mereka memberi amaran balasan Iran akan lebih jauh melangkaui jangkaan musuh.
“Tindakan agresif rejim pengganas Amerika telah memberi hak kepada Iran untuk bertindak mempertahankan diri. Kini, musuh perlu bersedia menerima tindak balas yang mereka tidak pernah jangka,” kata IRGC.
Tekanan rakyat semakin memuncak
Di sebalik retorik keras pemimpin, ramai rakyat Iran meluahkan kebimbangan di media sosial terhadap masa depan negara dan keselamatan mereka.
“Di sini, setiap hari rasa seperti sebulan. Setiap minit berlalu sangat perlahan. Setiap kali berlaku serangan, pelbagai kemungkinan buruk bermain dalam fikiran sebelum mendengar berita daripada rakan-rakan. Kami terperangkap di sini,” tulis seorang pengguna.
Sementara itu, penganalisis TV negara, Reza Iravani, pula menyifatkan sudah tiba masanya untuk Iran bertindak.
“Kini giliran kita untuk menggoncang dunia. Dari sekarang, biar musuh takut akan amarah kita, bukan kita takut pada ancaman mereka.
“Amerika harus tahu, mereka tiada kekebalan di langit Asia Barat, mahupun keselamatan di perairan Teluk. Iran bukan hanya bertahan dengan luka, Iran menyerang dengan luka.”
Sumber: Telegraph








