Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Dua pemandu kenderaan mewah ditahan dalam Operasi Harian JPJ Selangor selepas didapati memandu tanpa Lesen Kenderaan Motor (LKM) sah dan perlindungan insurans dalam pemeriksaan di Lebuhraya Kajang–Cheras, Khamis lalu.
Menurut Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan, kedua-dua kenderaan iaitu Ford Mustang dan BMW X5 ditahan dalam dua pemeriksaan berasingan antara jam 2 petang hingga 11 malam.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua pemandu melakukan kesalahan memandu tanpa LKM yang sah serta tiada insurans,” katanya.
Memetik dari laporan Sinar Harian, pemandu Ford Mustang, seorang lelaki tempatan berusia awal 30-an, tidak dapat memperbaharui LKM kerana mempunyai saman tertunggak dan telah disenarai hitam.
Sementara itu, pemandu BMW X5 berusia lingkungan 40-an pula dikesan memandu dengan cukai jalan yang telah tamat tempoh lebih setahun dan tanpa perlindungan insurans.
Kedua-dua individu memberikan alasan mereka menghadapi masalah kewangan, walaupun memiliki kenderaan bernilai tinggi.
“Kesemua kenderaan telah disita dan dibawa ke JPJ Shah Alam untuk tindakan lanjut. JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk pemilik kenderaan mewah yang ingkar terhadap undang-undang jalan raya,” tegas Azrin.
Beliau turut menegaskan bahawa memandu kenderaan mewah bukanlah alasan untuk mengabaikan tanggungjawab undang-undang.
“Semua pengguna jalan raya tertakluk kepada peraturan sama, termasuk keperluan memiliki LKM dan insurans yang sah,” katanya.
JPJ Selangor juga sentiasa memantau secara berterusan dan memberi perhatian terhadap aduan yang dikemukakan oleh orang awam.
Tambah Azrin, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memastikan kenderaan masing-masing mematuhi peraturan yang ditetapkan.








