Selepas hampir sebulan berlalu dengan perasaan yang tertekan, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin akhirnya mendedahkan kisah sebenar di sebalik peletakkan jawatan bekas jurulatih negara, Kim Pan-gon.
Pada awalnya, Pan-gon meminta untuk dilepaskan atas alasan isu keluarga. Namun, hakikatnya, pengendali ini sudah membuat perjanjian dengan kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai.
Situasi ini menyalahi dan melanggar kontrak, di mana sepatutnya Pan-gon kekal membimbing pasukan sehingga hujung tahun depan.
Hamidin bagaimanapun mengambil pendekatan baik dengan tidak mengambil tindakan undang-undang, walaupun beliau kecewa dengan tindakan Pan-gon.
Beliau menekankan bahawa, FAM tidak bersalah dalam perkara ini dan keputusan untuk melepaskan Pan-gon adalah demi kebenaran yang perlu diketahui oleh peminat.
Dalam masa sama, Hamidin kecewa kerana FAM dikritik peminat kononnya tidak mempertahankan Pan-gon tanpa mengetahui hal sebenar yang berlaku.
Pan-gon, yang sebelum ini membawa skuad Harimau Malaya ke Piala Asia di Qatar pada Januari, akhirnya meletakkan jawatan dan digantikan oleh pembantunya, Paulo Marti Vicente.
Sumber: Harian Metro