Baru-baru ini, anak suruh saya beli Cheesy Wedges. Balik kerja, saya pun pergilah ke KFC. Ada seorang pakcik ini beratur di tepi saya. Dia buka dompet, kira duit kemudian dia tengok papan menu di atas kaunter. Saya tengok saja dia.
Dia pergi ke arah anak-anaknya yang duduk di meja. Pastu diorang anak beranak datang ke tepi itu, tengok menu. Dia tanya anak-anak dia, “Lima ketul cukup?”
“Ambil sembilan ketul bah,” kata anaknya.
Pastu dia pun pergilah beratur semula. Dia buka balik dompet dan kira lagi sekali duit dia. Tiba giliran dia, orang di kaunter tanya, “Pakcik nak makan sini ke, bungkus?”
“Makan sini,” jawabnya.
“Pakcik nak order apa?”
“Dinner plate yang ayam dia sembilan ketul.”
“Dinner plate, ayam tiga ketul saja pakcik. Pakcik nak ayam sembilan ketul ke, nak dinner plate?”
“Nak ayam 9 ketul.”
“Air, pakcik nak air apa?”
Dia tengok menu di atas, dia tengok menu di bawah. Kemudian dia pusing belakang memanggil anak-anaknya datang.
“Nak air apa?” soalnya. Anak-anak dia pun tunjuk Fanta Grape, Fanta Strawberry.
Saya rasa pakcik ini jarang datang ke KFC dan dia datang sebab anak-anak dia nak makan KFC. Dulu ayah saya pun begini juga bila kami nak makan KFC. Dia suruh tunggu gaji. Bila gaji dah masuk, dia bawa pergi KFC. Bila order, dia tunjuk saja menu itu.
Bila dah jadi suami, dah jadi ayah, baru kita akan rasa. Kita kerja untuk dapat gaji dan gaji itu untuk isteri, anak-anak dan ibu bapa kita. Itu keutamaan kita dan menggembirakan mereka dapat membuatkan hidup kita rasa tenang dan juga gembira.
Kita dah tak fikir tentang apa yang berlaku di tempat kerja. Kita dha tak fikir tentang penat lelah kita. Kita rasa satu kepuasan dapat bagi apa yang anak atau isteri nak.
Bukan semua orang mampu beli KFC untuk anak-anak dan harga KFC sekarang pula bukannya murah. Beruntunglah kita yang masih ada kemampuan untuk selalu beli atau makan semua ini. Bersyukurlah.
Ke mana lagi nak habiskan gaji kalau bukan kepada isteri dan anak-anak?
Sumber: Firdaus Shakirin