Susulan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) rosak buat kali ketiga, Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac digesa untuk meletakkan jawatan.
Perkara itu dituntut oleh Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang mendakwa Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu jelas gagal melaksanakan tugasnya sebagai pengerusi stadium nasional berkenaan.
Katanya, perkara ini melibatkan imej negara selain memberikan kesan kepada pasukan, rakyat dan cukai negara. Tambahnya lagi, kesalahan tersebut bukan kali pertama, tetapi sudah berlaku kali ketiga.
“Bukan pertama kali (tapi) kali ketiga. Cukuplah Hans Isaac. Kalau dia tahu malu, letak jawatan,” katanya.
Insiden memalukan
Sementara itu, Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) menyifatkan insiden padang SNBJ dilihat memalukan negara kerana perlawanan membabitkan Malaysia dan Oman malam merupakan perlawanan bertaraf antarabangsa.
“Kita punya perlawanan bertaraf antarabangsa tetapi padang bertaraf kampung kerana kita tidak dapat menguruskannya dengan baik.
“Kita juga khuatir ‘mood’ pasukan atau pemain kita ini terjejas (kerana) nak bermain atas rumput yang tidak begitu elok,” katanya.
Terdahulu, isu padang SNBJ terus hangat diperkatakan susulan tersebarnya video dan gambar permukaan padang yang ‘rosak’ ekoran penganjuran konsert Ed Sheeran pada 24 Februari lalu.
Pada November lalu juga keadaan rumput juga menjadi spekulasi apabila PSM membenarkan konsert Coldplay dianjurkan di atas padang SNBJ.
Sumber: Malaysia Gazette








