Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Isteri kepada salah seorang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Koperal Syed Isfan Syed Mohammad yang terlibat nahas di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan Selasa lalu berkongsikan keadaan terkini suaminya.
Melalui hantaran di Facebook, wanita berkenaan yang dikenali sebagai Rasidah Suhada memaklumkan Koperal Syed telah menjalani tiga pembedahan berikutan kecederaan parah yang dialaminya.
“Syed dah lalui tiga pembedahan di bahagian perut dan dada, sebab usus dia naik ke atas dan menghimpit paru-paru, hati, dan limpa. Alhamdulillah, doktor berjaya betulkan semua kedudukan organ tersebut ke asal. Tulang rusuk nombor 4 yang retak itu, doktor tak boleh buat apa-apa, mungkin akan sembuh sendiri,” katanya.
Tiga bahagian pundi kencing bocor
Menurutnya lagi, pundi kencing suaminya mempunyai tiga bahagian yang bocor dan telah terkena jangkitan kuman selain memaklumkan tulang pinggul juga patah.
“Pundi kencing dia ada 3 bahagian bocor dan telah terkena jangkitan kuman. Doktor dah masukkan tiub stent dalam saluran antara buah pinggang dan pundi kencing, dan juga tebuk tiub di bahagian luar. Sekarang dia kencing ikut tiub tersebut. Saluran kencing biasa masih lagi rosak, mungkin ambil masa untuk doktor operate bahagian itu pula.
“Tulang pinggul pula patah. Doktor dah masukkan stent besi, tapi belum dapat operate bahagian mangkuk pinggul yang patah itu lagi sebab kena tunggu dia stabil dahulu,” katanya.
Mohon doa orang ramai
Dalam hantaran berkenaan juga, Rasidah memohon doa orang ramai untuk kesembuhan suaminya.
“Doakan dia ya. Saya tak mampu nak balas satu-satu, cuma dapat ringkaskan di sini. InsyaAllah dia kuat. Mungkin semalam saya sedih dan bimbang, tapi hari ini saya reda dan bersyukur kerana ada keajaiban berlaku berkat doa semua. Kalau ikutkan, banyak risiko yang dia kena lalui, tapi kuasa Allah, semua risiko pendarahan, risiko buang limpa, dan risiko potong usus dapat ditangani. Semua berjalan lancar.
“Apapun, masih ada dua lagi pembedahan yang perlu dilakukan. Kita tunggu dia stabil dahulu. InsyaAllah, satu demi satu dia akan pulih. Saya yakin,” katanya.








