Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merampas 101 kenderaan mewah menerusi Ops Luxury yang dijalankan di seluruh negara sejak awal Jun lalu, termasuk sebuah Porsche milik seorang selebriti.
Kenderaan berkenaan disita kerana dipercayai telah tamat tempoh Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan tiada perlindungan insurans.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata kenderaan terbabit antaranya Ferrari, Rolls-Royce, Bentley, Porsche Cayenne, BMW 530e, Lotus Elise S, Toyota Alphard, Vellfire dan Mercedes-Benz yang disita kerana pelbagai kesalahan.
“Antara kesalahan yang dikesan termasuk LKM tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, lesen memandu tamat tempoh atau tiada lesen yang sah (CDL).
“Selain itu, turut dikesan ialah penggunaan nombor pendaftaran palsu, ketidakpadanan nombor casis dengan maklumat dalam sistem serta penggunaan ‘trade plate’ palsu.
“Semua kenderaan kini ditempatkan di depoh simpanan JPJ untuk siasatan lanjut dan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),” katanya.
Beliau berkata Ops Luxury merupakan inisiatif bersepadu bagi memperkukuh penguatkuasaan terhadap pemilikan dan penggunaan kenderaan mewah yang melanggar undang-undang jalan raya dan memberi amaran bahawa pemilikan kenderaan mewah bukan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab sebagai pengguna jalan raya yang sah.
Dalam pada itu, JPJ juga menegaskan pelaksanaan Ops Luxury ini memberi isyarat jelas bahawa JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan jalan raya.
Sumber: Sinar Harian, JPJ WPKL








