Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan, pihaknya telah mula melakukan operasi penguatkuasaan terhadap kesalahan memandu laju sejak Isnin lalu.
Operasi penguatkuasaan itu akan dijalankan secara berterusan di semua kontinjen dan daerah bagi memberi peringatan kepada semua pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Ini kerana, memandu melebihi kelajuan yang ditetapkan adalah salah satu punca utama berlakunya kemalangan jalan raya di mana pemandu gagal mengawal kenderaan sehingga hilang kawalan.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan menggunakan kamera tembak laju untuk merakam mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar had laju. Saman kompaun RM300 akan dikenakan kepada yang melakukan kesalahan itu.
Bagi mereka yang didapati melakukan kesalahan itu, notis pemberitahuan saman K170A akan disampaikan kepada pemilik kenderaan mengikut alamat lesen memandu secara pos surat berdaftar (saman ekor).
Di hari pertama operasi itu dilakukan, sebanyak 8,718 saman telah dikeluarkan di seluruh negara. Pemandu kereta mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 8,352 saman, diikuti penunggang motosikal, 44 saman, manakala kenderaan perdagangan dan perkhidmatan pula 322 saman.
Sumber: Sinar Harian








