Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kelembapan tanah dan komposisi kimia yang kaya dengan ion dikenal pasti sebagai faktor penyumbang kepada hakisan saluran paip gas bawah tanah.
Menurut Pengarah Urusan Pusat Permata Maritime, Kapten Mohammad Yunos, kelembapan tanah mempercepatkan hakisan kerana air bertindak sebagai elektrolit yang menyebabkan reaksi kimia dengan logam paip.
“Selain itu, oksigen yang terlarut dalam tanah akan turut menyebabkan oksidasi pada paip logam. Hakisan berlaku dengan lebih cepat apabila terdapat banyak oksigen yang mencapai paip,” katanya.
Pemeriksaan berkala
Memetik dari Berita Harian, Mohammad turut menjelaskan bahawa faktor keasidan tanah boleh merosakkan lapisan pelindung paip, manakala kandungan ion yang tinggi dalam tanah meningkatkan reaksi terhadap logam. Oleh itu, pemeriksaan berkala ke atas saluran paip gas amat penting bagi mengelakkan kejadian seumpama ini.
Beliau juga menyatakan bahawa semua saluran paip gas dilengkapi dengan stesen kawalan yang membolehkan bekalan gas dihentikan serta-merta. Namun, api masih akan marak selagi terdapat gas dalam paip yang belum habis terbakar, menjadikan kepakaran bomba amat diperlukan dalam operasi pemadaman.
Terdahulu, satu kebakaran besar melibatkan saluran paip gas PETRONAS sepanjang 500 meter berlaku di Putra Heights, Selangor sekitar jam 8.10 pagi pada hari kedua Aidilfitri. Api yang marak dapat dilihat dari beberapa kilometer jauhnya, menyebabkan kemusnahan besar dan pemindahan penduduk ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Beberapa video tular turut merakamkan detik-detik cemas tersebut berlaku.
Dalam pada itu, memetik laporan dari Bernama pula, kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights semakin reda setakat 2.30 petang tadi dan pihak polis Polis masih menutup laluan ke lokasi kebakaran, dengan kenderaan bomba dan penyelamat dilihat keluar masuk.
PETRONAS sahkan kejadian
Sementara itu, PETRONAS dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian tersebut dan sedang bekerjasama rapat dengan semua pihak yang berkaitan bagi memastikan keselamatan komuniti sekitar, perlindungan alam sekitar, serta kelangsungan bekalan gas kepada negara, yang kekal sebagai keutamaan mereka.
“PETRONAS mengesahkan bahawa satu kebakaran telah berlaku di saluran paip utama PETRONAS Gas Berhad (PGB) berhampiran Putra Heights, Puchong, Selangor pada 1 April 2025 pada jam 0810.
“Saluran paip yang terjejas telah diasingkan, dan semua pihak berkepentingan yang berkaitan telah dimaklumkan.
“PETRONAS sedang bekerjasama rapat dengan semua pihak yang berkaitan bagi memastikan keselamatan komuniti sekitar, perlindungan alam sekitar, serta kelangsungan bekalan gas kepada negara, yang kekal sebagai keutamaan utama kami.
“Tiga stesen runcit PETRONAS yang berhampiran — PS Putra Heights, PS KM2 LDP dan PS Putra Bestari — tidak terjejas tetapi telah ditutup sementara sebagai langkah berjaga-jaga,”katanya.








