Sekretariat Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengecam keras tindakan Iran yang didakwa menyasarkan beberapa negara anggota dengan peluru berpandu balistik, disifatkan sebagai satu tindakan memburukkan keadaan dan ancaman serius terhadap keamanan serantau.
Dalam satu kenyataan rasmi, badan itu menyatakan bahawa tindakan berkenaan telah mencabul kedaulatan dan wilayah negara-negara jiran termasuk Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Qatar, Kuwait dan Jordan. Menurut kenyataan itu, insiden berkenaan berpotensi membawa implikasi besar terhadap keamanan dan keselamatan di seluruh rantau berkenaan.
Sekretariat Agung OIC turut menegaskan solidariti penuh terhadap negara-negara terbabit dalam menghadapi sebarang bentuk pencerobohan yang menjejaskan kedaulatan, keselamatan dan kestabilan mereka.
“Sekretariat Agung menegaskan bahawa pencabulan berterusan terhadap kedaulatan negara anggota serta prinsip undang-undang antarabangsa merupakan satu tindakan berbahaya yang menjejaskan asas hubungan antarabangsa yang berteraskan semangat kejiranan baik, saling menghormati dan prinsip tidak campur tangan dalam urusan dalaman,” menurut kenyataan tersebut.
Baca juga:
- Netanyahu kritik tindakan Ben-Gvir terhadap aktiviS GSF
- Kekeliruan nama sama di PIK, Pagi Sore Kemang Hijau perjelas situasi
- Disangka cucu, nenek tampar lelaki di kafe siber sebelum sedar tersilap orang
Dalam pada itu, OIC mengulangi gesaan agar semua tindakan berbentuk provokasi dan peningkatan ketegangan dihentikan serta-merta.
“Semua pihak digesa supaya menahan diri dan kembali ke meja rundingan bagi mengelakkan konflik lebih meluas yang boleh mengancam keselamatan dan kestabilan keseluruhan rantau,” tegasnya lagi.








