'Nyawa dibalas nyawa' - Ibu Zulfarhan mahu hukuman gantung kekal | The Reporter

‘Nyawa dibalas nyawa’ – Ibu Zulfarhan mahu hukuman gantung kekal

Ibu Zulfarhan Osman meluahkan perasaan hiba dalam temubual, mahu hukuman gantung kekal untuk tertuduh.
“Nyawa dibalas nyawa,” kata ibu Zulfarhan penuh sebak. | Foto: Harian Metro, Google Images

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Ibu kepada arwah Zulfarhan Osman Zulkarnain, Hawa Osman, meluahkan perasaan hiba dan kesedihan yang tidak pernah surut sejak kehilangan anak sulungnya lapan tahun lalu.

Dalam temubual bersama Mingguan Wanita, Hawa menyatakan harapannya agar hukuman gantung terhadap keenam-enam tertuduh kekal sebagai pembalasan setimpal atas penderitaan yang dialami anaknya.

Nyawa dibalas nyawa

“Cukuplah! Kami sudah lama menderita. Biarlah nyawa dibalas nyawa,” katanya.

Dalam setiap sujud, Hawa mengakui sentiasa mendoakan agar hukuman gantung kekal dijatuhkan ke atas tertuduh yang bertanggungjawab terhadap kematian Zulfarhan. Hawa turut meluahkan kepedihan apabila mengimbau semula penderitaan yang dialami anaknya, terutama apabila mengenang 90 tekapan seterika yang ditemui di seluruh badan, termasuk bahagian kemaluan.

“Ini perbuatan kejam dan bagaimana harus saya memaafkan mereka?” luahnya dengan nada sebak.

Keluarga tertuduh datang memohon maaf

Hawa juga mendedahkan ada dua keluarga tertuduh yang datang menemuinya untuk memohon maaf dan meminta beliau melupakan perkara yang berlaku. Namun, Hawa berkata, “Saya sentiasa memaafkan muslimin dan muslimah dalam doa solat saya tapi untuk memaafkan perbuatan kejam enam tertuduh ini, amat berat.”

Tegasnya, kata maaf daripada ibu bapa tertuduh tidak sama dengan kemaafan yang datang daripada mulut anak mereka sendiri yang terlibat dalam perbuatan kejam tersebut.

8 tahun penuh derita

Selama lapan tahun, keluarga Zulfarhan terpaksa menanggung kesedihan yang tidak terungkap. Hawa mendedahkan bahawa suaminya sanggup menangguhkan pembedahan saluran jantung yang tersumbat kerana tidak mahu ketinggalan mengikuti setiap perbicaraan di mahkamah.

“Biar selesaikan hal Along dulu. Lepas kesemua tuduhan ke atas enam tertuduh dikekalkan, barulah dia mahu fikirkan kesihatannya,” katanya.

Perbicaraan masih berlangsung

Kes kematian Zulfarhan Osman Zulkarnain kini masih dibicarakan di Mahkamah Persekutuan. Peguam yang mewakili keenam-enam tertuduh berhujah bahawa anak guam mereka tidak sepatutnya dikenakan hukuman gantung dan meminta mahkamah menilai semula keterangan saksi yang didakwa telah ‘dibimbing’ oleh seorang individu.

Kes ini terus mendapat perhatian umum, dengan ramai yang menantikan keputusan muktamad mahkamah. Keadilan buat Zulfarhan dan keluarganya menjadi harapan seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan kes ini sejak lapan tahun lalu.

Related Posts