Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mendedahkan seorang remaja telah menjadi mangsa gangguan seksual melibatkan seorang pendakwah selebriti.
Menurutnya, ketika kejadian berlaku, mangsa masih mentah dan percaya bahawa pendakwah berkenaan ikhlas ingin membimbingnya ke jalan agama, dengan menggunakan minat remaja itu terhadap nasyid sebagai pendekatan awal.
Namun, kepercayaan itu dikhianati apabila pendakwah terbabit memujuk mangsa mengikutinya ke sebuah negeri lain atas alasan untuk menonton persembahan nasyid. Di sebuah bilik hotel, mangsa mendakwa lelaki tersebut cuba melakukan perbuatan terkutuk ke atasnya.
Baca juga:
- ‘Cadangan kembalikan Dara, Amoi, Kelat wajar dipertimbangkan dengan serius’ – Arthur
- WWF-Malaysia ambil maklum kebimbangan orang ramai kebajikan tiga gajah
- GSF 2.0: Tiga delegasi Malaysia kembali ke tanah air selepas kapal rosak
“Mujur mangsa sempat menolak tangan pendakwah itu sekuat hati sebelum berlari ke tandas dan mengurung diri selama lima jam dalam ketakutan. Dia hanya melarikan diri apabila mendapati lelaki tersebut tertidur, lalu menghubungi ahli keluarga sebelum laporan polis dibuat,” jelas Nurul Izzah.
Beberapa hari kemudian, keluarga mangsa dikejutkan apabila dimaklumkan bahawa sudah ada beberapa laporan terdahulu terhadap individu yang sama.
“Kenapa tiada tindakan diambil sejak laporan pertama? Kenapa pemangsa ini masih bebas dan terus menjadikan gelaran ‘ustaz’ sebagai topeng untuk meneruskan kejahatannya?” soal beliau.
Tambahnya, tekanan terhadap keluarga mangsa tidak berakhir di situ apabila mereka pula disaman oleh suspek berjumlah ratusan ribu ringgit atas dakwaan fitnah, serta diminta membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi siaran media.
“Mereka adalah keluarga B40. Simpanan pun hampir tiada. Seluruh keluarga menangis. Air mata tidak berhenti. Mereka tertanya-tanya, ‘Kenapa Allah uji kami sebesar ini?'” katanya lagi.
Susulan kejadian itu, Nurul Izzah memaklumkan bahawa mangsa kini mengalami trauma dan memerlukan rawatan berterusan.
“Dia trauma, perlu rawatan kaunseling bulanan dan bergantung kepada ubat. Keputusan pelajarannya juga menjunam,” katanya.
Nurul Izzah turut menegaskan komitmennya untuk menegakkan keadilan buat mangsa dan memastikan remaja itu terus dilindungi.








