Ketika ini, ramai peniaga mula mengeluh dengan hasil jualan yang tidak memberangsangkan, sama ada jualan secara fizikal mahupun dalam talian.
Isu ini bukan sahaja melibatkan perniagaan kecil, malah turut dirasai oleh peniaga berskala sederhana dan besar yang beroperasi di pelbagai platform.
Namun, peniaga yang terlibat dalam perniagaan atas talian khususnya jualan menerusi aplikasi TikTok lebih merasai kekecewaan, terutamanya mereka yang menjalankan perniagaan secara siaran langsung (live) yang bergantung kepada jumlah tontonan.
Baru-baru ini, tular sebuah video memaparkan seorang peniaga lelaki yang meluahkan rasa kecewa dengan jumlah tontonan yang rendah semasa sesi siaran langsung dijalankan. Lelaki berkenaan pada mulanya menjerit seolah-olah tidak berpuas hati dengan keadaan tersebut, sebelum bertindak mencampakkan pakaian yang digantung ke lantai.
“View macam kena kawal dengan TikTok. Stres ya Allah. Belas-belas orang je dalam live. Live bukan makin naik, makin turun.
“Aku dah gila, view tak ada. Nak berniaga apa lagi? TikTok, bukalah engagement tu. Aku peniaga lama, kot,”katanya.
Tindakan tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen. Ada yang berpendapat ia hanyalah sebahagian daripada strategi pemasaran bagi menarik perhatian, manakala sebahagian lagi menafikan dakwaan tersebut dan percaya bahawa lelaki berkenaan benar-benar kecewa serta bersungguh-sungguh ketika berniaga secara langsung.








