Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli Jemaah Menteri, berkuat kuasa 4 Julai 2025.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Rabu, beliau berkata surat peletakan jawatan itu telah dihantar kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, manakala beliau akan bercuti bermula esok hingga tarikh kuat kuasa.
Menurut Nik Nazmi, keputusannya melepaskan jawatan dibuat selepas beliau tidak lagi memegang jawatan Naib Presiden KEADILAN, satu faktor penting dalam pelantikan asalnya ke Kabinet.
“Saya sedar bahawa kedudukan saya ketika itu sebagai Naib Presiden KEADILAN merupakan antara pertimbangan utama dalam pelantikan saya ke Kabinet. Memandangkan saya tidak berjaya mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan parti baru-baru ini, saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri,” katanya.
Nik Nazmi turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberi sokongan dan kerjasama sepanjang perkhidmatannya, termasuk penjawat awam, timbalan menteri serta sektor swasta dan masyarakat sivil.
Sepanjang menerajui dua kementerian, pertama sebagai Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (2022-2023) dan kemudian Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (2023-2025), beliau mengetengahkan beberapa inisiatif utama seperti pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, penambahbaikan laporan EIA, serta pengurangan kadar penyahutanan yang diiktiraf oleh PBB.
Antara kejayaan lain termasuk pelaksanaan semula mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT), kelulusan Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga, serta pengenalan mekanisme baharu penetapan tarif air.
Nik Nazmi juga menyatakan bahawa Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara yang diusahakan pasukannya kini berada di peringkat akhir sebelum dibentangkan ke Jemaah Menteri dan Parlimen.
Mengakhiri kenyataannya, beliau menyatakan hasrat untuk kembali memberikan sepenuh perhatian kepada tugas sebagai Ahli Parlimen Setiawangsa sambil mengungkap kata-kata mendiang Ahli Parlimen Britain, Tony Benn:
“Saya meninggalkan Kabinet untuk memberikan lebih masa kepada politik dan khidmat awam.”








