Polis: Serbuan berdasarkan risikan, temui kondom &ubat HIV
Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Polis Kelantan mengesahkan telah menyerbu satu program yang dikaitkan dengan komuniti LGBT di sebuah banglo di Jalan Kemumin, Kota Bharu pada pertengahan Jun lalu.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, serbuan dilakukan sekitar jam 1 pagi hasil maklumat awam dan risikan pasukan khas berhubung dakwaan penganjuran “pesta makan-makan” khusus untuk golongan gay.
Beliau mendakwa lebih 100 lelaki tempatan menyertai acara yang didakwa dipromosikan melalui media sosial dengan bayaran dikenakan, namun hanya 20 lebih orang berada di lokasi semasa serbuan. Turut ditemukan ialah ratusan keping kondom dan beberapa kotak ubat HIV yang disimpan di bilik khas.
Tambah beliau, tiada perlakuan seks dikesan ketika serbuan dan semua peserta berpakaian lengkap. Namun, tiga individu telah didakwa kerana memiliki bahan lucah berunsur gay dalam telefon bimbit masing-masing. Polis juga memaklumkan terdapat peserta yang menghidap HIV dan mengambil rawatan pencegahan.
Baca juga:
- Kerajaan mungkin pertimbang potong gaji menteri jika ekonomi semakin mencabar
- Isu aurat dalam tahanan: Muslimat PAS gesa penambahbaikan segera
- Kisah ‘Mahasiswa Abadi’: Tesis didakwa diambil rakan, Dessy kini alami tekanan mental
NGO: Ia acara kesihatan percuma, bukan pesta seks
Namun, lebih 30 NGO dan beberapa doktor tampil menafikan dakwaan tersebut. Dalam kenyataan bersama, mereka menyifatkan kenyataan polis sebagai tidak tepat dan mengelirukan.
Menurut mereka, program yang berlangsung bermula jam 8 malam itu adalah acara kesihatan awam yang menawarkan maklumat berkaitan HIV, sesi ceramah oleh doktor, pemberian kondom dan ujian sukarela, bukan pesta seks atau acara berbayar seperti didakwa.
Mereka menegaskan peserta hadir untuk mendapatkan maklumat dan pemeriksaan kesihatan, dan tidak ada yang menawarkan khidmat seksual. Mereka juga menolak dakwaan promosi di media sosial dan menyatakan acara itu tidak mengenakan sebarang bayaran.
Kenyataan itu ditandatangani oleh pelbagai pertubuhan termasuk Justice for Sisters, Suaram, Amnesty International Malaysia dan Women’s Aid Organisation. Mereka turut melahirkan kebimbangan dakwaan tidak berasas ini akan menakutkan komuniti terpinggir daripada mendapatkan akses kepada khidmat kesihatan.
Majlis AIDS Malaysia dan Galen Centre for Health and Social Policy turut menyokong penjelasan tersebut dan menyatakan program itu dijalankan dengan sokongan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Sumber: Bernama, Malaysiakini, Free Malaysia Today








