Nga Kor Ming kesal sikap segelintir individu cemari kebersihan pusat bandar | The Reporter

Nga Kor Ming kesal sikap segelintir individu cemari kebersihan pusat bandar

Nga Kor Ming kesal dengan tindakan mencemarkan pusat bandar pada malam perayaan.
Nga Kor Ming kesal dengan tindakan segelintir individu yang mencemarakn pusat bandar.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Sambutan malam perayaan Krismas baru-baru ini di Kuala Lumpur dicemari dengan kekotoran apabila sampah sarap tidak diuruskan dengan baik, bersepah dan merata-rata di beberapa kawasan pusat bandar.

Dalam hantaran yang dikongsikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), gambar-gambar menunjukkan keadaan sampah yang tidak diurus dengan baik, menjejaskan kebersihan dan imej bandar raya. Susulan itu, DBKL mengingatkan orang ramai supaya menjaga kebersihan dan memelihara ruang awam bersama, terutamanya ketika menghadiri acara atau perayaan awam.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Nga Kor Ming turut meluahkan rasa kecewa dengan tindakan yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

Beliau menyeru orang ramai supaya menghentikan tabiat membuang sampah merata-rata dan tidak memalukan Malaysia.

“Sekarang sudah abad ke-21, tiada alasan untuk sesiapa membuang sampah di tempat awam. Sangat memalukan melihat tingkah laku sebegini. Jangan salahkan kerajaan apabila undang-undang dikuatkuasakan. Bersikaplah matang, tolong!!” tegas beliau.

Baca juga:
Mencemarkan imej negara

Dalam satu kenyataan lain pula, beliau mempersoalkan sama ada sikap ini mencerminkan budaya Malaysia, sambil menekankan bahawa tindakan tidak bertanggungjawab sebegini boleh mencemarkan imej bandar dan negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Saya memandang serius dan amat kesal terhadap laporan berhubung tahap kebersihan bandar yang masih terjejas akibat sikap segelintir individu yang membuang sampah merata-rata, khususnya di kawasan pusat bandar dan lokasi tumpuan awam.

“Persoalannya, adakah ini budaya kita? Malaysia sedang melangkah ke arah negara maju dan bersedia menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026, namun sikap tidak bertanggungjawab seperti ini mencemarkan imej bandar raya serta nama negara di mata masyarakat dan pelancong,” katanya.

Peringatan tindakan tegas 1 Januari

Beliau menjelaskan bahawa kerajaan melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sentiasa komited melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan bandar berada dalam keadaan bersih, teratur, dan selesa. Namun, usaha ini tidak akan berkesan tanpa kesedaran dan kerjasama orang ramai.

“Saya ingin menegaskan bahawa kebersihan bandar bukan semata-mata tanggungjawab kerajaan, SWCorp atau PBT, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama seluruh masyarakat,” katanya.

Tambah beliau, mulai 1 Januari 2026, tindakan lebih tegas akan diambil oleh SWCorp dan PBT.

“Mana-mana individu yang didapati membuang sampah kecil di tempat awam boleh dikenakan denda sehingga RM2,000, selain hukuman tambahan Perintah Khidmat Masyarakat maksimum 12 jam dalam tempoh enam bulan. Pendekatan ini bertujuan mendidik masyarakat agar lebih berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap persekitaran,” katanya.

Beliau juga menyeru semua pihak agar menghormati ruang awam yang dikongsi bersama.

“Raikan apa jua perayaan atau aktiviti dengan penuh kesedaran sivik, gunakan tong sampah yang disediakan dan patuhi undang-undang demi kebersihan bandar. Bandar yang bersih mencerminkan masyarakat yang berbudaya tinggi. Marilah kita bersama-sama menyokong usaha SWCorp dan PBT dalam menjadikan bandar kita lebih bersih, lestari dan berdaya huni untuk generasi akan datang,” tegasnya.

Related Posts