Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Larangan pemasangan khemah awam di 11 pantai Port Dickson terus mencetuskan kontroversi apabila ramai pengunjung dan peniaga tempatan menyuarakan ketidakpuasan hati mereka. Walaupun Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) menjelaskan bahawa tindakan itu bertujuan mengawal aktiviti khemah dari terus berleluasa, ramai pihak merasakan peraturan tersebut terlalu ketat dan menjejaskan ekonomi tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar, menegaskan kerajaan negeri menyokong tindakan MPPD bagi mengelakkan situasi di mana khemah disalahgunakan untuk aktiviti perniagaan, seperti yang berlaku sebelum ini dengan “khemah biru”.
“Bagi kita, tindakan MPPD itu tidak menimbulkan sebarang isu kerana ia bertujuan hendak kawal dari peringkat awal. Jika dibiarkan, pemasangan khemah secara berleluasa boleh bertukar menjadi aktiviti perniagaan, dengan khemah disewakan seperti yang berlaku sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Namun, kenyataan itu tidak meredakan kemarahan segelintir netizen, yang melancarkan kempen #boikotPD sebagai tanda protes terhadap larangan tersebut.
Peniaga tempatan rugi teruk, pengunjung semakin berkurang
Larangan ini memberi kesan langsung kepada peniaga kecil di sekitar pantai Port Dickson. Mohd. Fadly Mohd. Nasir, seorang peniaga payung pantai dan sukan air, mengakui pendapatannya merosot teruk sejak larangan ini dikuatkuasakan.
“Dulu, bila khemah masih dibenarkan dan ramai pengunjung, saya boleh dapat RM800 sehari. Sekarang, nak dapat RM20 pun susah sebab orang tak nak datang kalau tak boleh pasang khemah,” katanya kepada Kosmo.
Akibat kemerosotan pelanggan, beliau terpaksa mengurangkan pekerjanya daripada sembilan kepada dua orang kerana tidak mampu menanggung kos operasi.
Situasi ini turut dirasai peniaga lain, seperti K. Jivannthan, yang menganggap keputusan MPPD menjejaskan sektor pelancongan di Port Dickson.
“Isu khemah biru dah selesai dan kami diberi payung pantai, tapi bila khemah persendirian tak boleh dipasang, ramai yang tak jadi datang berkelah. Ini sangat menjejaskan peniaga macam kami,” katanya.
Pengunjung minta kelonggaran larangan khemah
Selain peniaga, pengunjung juga merasakan larangan khemah terlalu ketat dan menghalang mereka daripada menikmati percutian di pantai.
Zulkifli Abu, seorang pelancong tempatan, berpendapat bahawa khemah sangat penting untuk perlindungan daripada cuaca panas atau hujan.
“Ada masa terlalu panas dan hujan, jadi khemah sangat diperlukan. Kalau khemah tak boleh, orang malas nak datang,” katanya.
Menurut MPPD, larangan ini melibatkan semua jenis khemah, sama ada untuk bermalam atau sekadar riadah siang hari. Antara pantai yang terlibat ialah Pantai Tanjung Gemuk, Pantai Batu 1, Pantai Bagan Pinang, Pantai Saujana, Pantai Cahaya Negeri, Pantai Batu 5, Pantai Teluk Kemang, Pantai Purnama, Pantai Cermin, Pantai Tanjung Biru dan Pantai Dickson.
MPPD turut menjelaskan bahawa larangan ini bertujuan mengekalkan kebersihan di kawasan pantai serta mengelakkan aktiviti memasak dan menyalakan api dalam khemah.
Bagaimanapun, dengan kempen #boikotPD semakin mendapat perhatian, ramai pihak berharap agar pihak berkuasa mempertimbangkan kelonggaran terhadap peraturan ini bagi memastikan industri pelancongan dan ekonomi tempatan tidak terus terjejas.
Sumber: Kosmo! Online, Harian Metro