Netanyahu dakwa 'penyingkiran' Khamenei mampu tamatkan konflik Israel-Iran | The Reporter

Netanyahu dakwa ‘penyingkiran’ Khamenei mampu tamatkan konflik Israel-Iran

Benjamin Netanyahu dan Ayatollah Ali Khamenei dalam latar visual berkaitan konflik Israel-Iran
Netanyahu yakin penyingkiran Khamenei mampu tamatkan konflik, Trump pula menolak cadangan tersebut

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


• Netanyahu dakwa ‘penyingkiran’ (pembunuhan) Khamenei akan mengakhiri konflik antara Israel dan Iran
• Presiden Trump menolak rancangan tersebut kerana bimbang ia akan mencetuskan perang yang lebih besar
• Kenyataan itu dibuat ketika Israel sedang giat melancarkan serangan ke atas Iran menerusi “Operation Rising Lion”

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa, menyingkirkan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, bukan sahaja tidak akan memburukkan keadaan, malah mampu menamatkan konflik antara Israel – Iran.

Dalam temu bual bersama ABC News pada Isnin, Netanyahu berkata, “Konflik ini tidak akan meningkat, sebaliknya akan berakhir.”

Netanyahu turut menggelar Khamenei sebagai “Hitler moden” dan menyifatkan kepimpinannya sebagai punca utama ketegangan di Timur Tengah. Malah, Iran di bawah pimpinan Khamenei tidak menunjukkan minat terhadap sebarang bentuk perdamaian.

Presiden AS tolak cadangan Netanyahu

Kenyataan Netanyahu itu dilaporkan selepas beberapa pegawai Amerika Syarikat (AS) mendedahkan Presiden Donald Trump yang kini memegang jawatan sebagai Presiden AS ke-47, pernah menolak cadangan Israel untuk membunuh Khamenei semasa perbincangan tertutup.

Menurut laporan AP News, Trump menolak idea itu kerana bimbang ia akan mencetuskan konflik berskala besar dan mengheret AS ke dalam perang terbuka dengan Iran. Walaupun begitu, Netanyahu tetap mempertahankan tindakan itu adalah jalan terbaik untuk menghentikan ancaman terhadap Israel.

Netanyahu mengeluarkan kenyataan tersebut ketika Israel sedang melancarkan kempen ketenteraan besar-besaran ke atas Iran sejak 13 Jun menerusi operasi yang dinamakan “Operation Rising Lion”.

Serangan itu menyasarkan kemudahan ketenteraan dan tapak nuklear Iran di beberapa lokasi termasuk Tehran, Isfahan dan Bandar Abbas. Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan balas ke wilayah Israel dan menggesa negara-negara Islam bersatu menentang apa yang digelar sebagai serangan zionis. – Agensi

Related Posts