Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Rabu nekad menghapuskan Hamas sepenuhnya daripada Gaza selepas perang yang berlarutan sejak hampir dua tahun lalu. Kenyataan itu dibuat ketika Hamas dilaporkan sedang mempertimbangkan cadangan baharu gencatan senjata yang dibawa perantara antarabangsa.
“Saya ingin tegaskan, tidak akan ada lagi Hamas. Tidak akan ada lagi Hamastan. Kita tidak akan kembali ke keadaan itu. Semuanya sudah berakhir,” katanya dalam ucapan di Ashkelon, selatan Israel.
Netanyahu turut memberi jaminan bahawa semua tebusan akan dibebaskan.
“Kita akan bebaskan semua tebusan kita. Kita akan hapuskan Hamas sampai ke akar umbi,” tambahnya.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Selasa mengumumkan Israel bersetuju dengan syarat untuk melaksanakan gencatan senjata selama 60 hari. Tempoh bertenang ini bertujuan memberi ruang perundingan bagi menamatkan konflik yang sudah mencecah 21 bulan. Trump turut menggesa Hamas supaya mempertimbangkan tawaran tersebut.
Adakah Hamas akan bersetuju dengan gencatan senjata?
Dalam reaksi balas, Hamas memaklumkan melalui saluran Telegram bahawa mereka sedang mengkaji cadangan itu dengan serius dan belum membuat keputusan muktamad. Sebaliknya hanya menyatakan kesediaan untuk menilai tawaran tersebut dengan teliti, sementara Israel terus memberi tekanan agar kumpulan itu menyerah sepenuhnya.
Menteri Luar Israel, Gideon Saar pula memaklumkan kebanyakan anggota kerajaan menyokong perjanjian yang turut melibatkan pembebasan tebusan.
“Jika peluang ini muncul, kita tidak boleh sia-siakan!” katanya dalam hantaran di media sosial X.
Netanyahu dijangka berangkat ke Washington minggu hadapan bagi mengadakan pertemuan rasmi dengan Trump. – Agensi








