Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan keyakinan bahawa Iran tidak akan meneruskan program nuklearnya selepas menerima serangan daripada Amerika Syarikat (AS) dan Israel bulan lalu. Katanya, kekuatan dua kuasa besar itu telah memberi kesan besar kepada Tehran.
“Mereka takut. Mereka tahu mereka telah merasai kekuatan gabungan AS dan Israel. Ia memberikan kesan, bukan hanya di Timur Tengah, tetapi di seluruh dunia. Semua orang dapat melihatnya,” katanya dalam wawancara bersama saluran kewangan antarabangsa.
Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan ketenteraan boleh berulang jika perlu.
“Saya fikir orang Iran faham bahawa apa yang AS dan Israel pernah lakukan sekali, kami boleh lakukan dua kali, malah tiga kali.”
Baca juga:
- Wanita dipecat kerana datang kerja terlalu awal, saman majikan
- Mahkamah Beijing arah MAS bayar RM1.9 juta setiap keluarga mangsa MH370
- Mahkamah sahkan kecuaian, keluarga S Thanabalan terima RM1.1 juta
Netanyahu dakwa tahu lokasi uranium tersembunyi
Walaupun pentadbiran Trump menafikan Iran sempat memindahkan uranium dari tapak nuklear Fordow sebelum serangan, Netanyahu menegaskan sebaliknya. Berdasarkan maklumat perisikan Israel, pihaknya tahu di mana bahan itu disembunyikan.
Namun Netanyahu percaya Iran tidak lagi mempunyai kemampuan penuh untuk menghasilkan senjata nuklear. Katanya, walaupun uranium yang diperkaya adalah komponen penting, ia tidak mencukupi untuk menghasilkan bom atom.

“Uranium yang diperkaya tidak cukup untuk membuat bom nuklear. Ia memang komponen penting, tapi ia tidak mencukupi.”
Beliau juga menyifatkan ancaman nuklear dari Iran sebagai “kanser” yang perlu dipantau secara berterusan dan tidak boleh dibiarkan kembali berkembang.
Iran sedia runding, Trump pula mahu tarik balik sekatan?
Iran menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan AS bagi mencari jalan damai, namun setakat ini tiada penjelasan terperinci tentang bentuk rundingan tersebut.
Di pihak AS pula, Presiden Donald Trump menegaskan Iran tidak seharusnya dibenarkan memiliki sebarang program pengayaan uranium. Namun begitu, beliau turut menyatakan keinginan untuk menarik semula sekatan terhadap Iran, sekiranya keadaan mengizinkan.
Sumber: Fox Business









