Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan bahawa Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tidak pernah dimasukkan dalam Senarai Pekeliling Khas (SPK) kerana beliau bukan seorang penjenayah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menjelaskan bahawa dakwaan kononnya Ahmad Samsuri diletakkan di bawah status individu berisiko oleh pihak tertentu tanpa sebarang kesalahan sah adalah tidak benar sama sekali.
“Mungkin apa yang dimaksudkan Ahmad Samsuri itu adalah SPK, tetapi nama beliau tidak ada dalam senarai kerana dia bukan penjenayah atau suspek,” katanya.
Tan Sri Razarudin turut menolak penggunaan istilah TCO (Travel Control Officer) oleh Ahmad Samsuri yang seolah-olah menggambarkan beliau dikenakan pemantauan ketat oleh pihak berkuasa. Menurut beliau, TCO hanyalah pegawai polis Cawangan Khas (SB) yang ditugaskan di pintu keluar masuk negara seperti lapangan terbang atau pintu sempadan darat seperti di Bukit Kayu Hitam.
“TCO adalah travel control officer yang bertugas di pintu keluar masuk negara… yang mempunyai tugasan tertentu,” jelas beliau.
Ujarnya lagi, pegawai TCO ini berperanan membantu pegawai imigresen dan kastam melakukan risikan serta menyemak senarai suspek dalam SPK untuk tujuan tindakan lanjut, termasuk penahanan sekiranya perlu.
SPK hanya untuk suspek kes jenayah atau individu buruan
Tambah beliau, nama dalam SPK hanya terdiri daripada suspek kes jenayah, narkotik atau mereka yang terbabit dalam isu 3R (agama, kaum, institusi diraja) dan melarikan diri ke luar negara. Nama-nama ini akan disemak secara rapi agar tindakan sewajarnya dapat diambil jika mereka cuba memasuki negara semula.
“Sebenarnya nama yang ada dalam SPK adalah suspek bagi kes tertentu yang perlu ditangkap jika mereka memasuki negara ini,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan pergerakan Ahmad Samsuri sebenarnya diketahui kerana pegawai polis memang sentiasa mengiringinya bagi tujuan keselamatan, dan bukan untuk tujuan pengintipan. Beliau juga menafikan dakwaan Ahmad Samsuri bahawa telefon bimbitnya dipintas dan beliau diekori ke mana sahaja termasuk atas urusan peribadi.
“Cuma mungkin bila TCO bertanya ke mana dia nak pergi ketika melalui laluan VIP untuk keluar negara, dia berasa tidak selesa,” kata Razarudin.
Terdahulu, Ahmad Samsuri mendakwa beliau dikenakan kawalan pergerakan yang ketat hingga memberi gambaran seolah-olah beliau seorang penjenayah berbahaya, terlibat dengan sindiket, gangster, atau persona non grata di negara sendiri.
Sumber: Sariha Mohd Ali/Berita Harian








