'Nak kecam, marah tak apa, tapi jangan lupa pasang CRS untuk anak' - Anthony Loke | The Reporter

‘Nak kecam, marah tak apa, tapi jangan lupa pasang CRS untuk anak’ – Anthony Loke

Anthony Loke tegaskan kepentingan CRS untuk anak.
Gambar: The Star

Penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (Child Restraint System, CRS) kembali menjadi topik hangat selepas insiden menyayat hati di Plaza Tol Bukit Kajang yang meragut nyawa seorang bayi berusia setahun, Sabtu lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengakui dirinya turut berdepan kritikan susulan teguran berhubung ketiadaan penggunaan CRS dalam nahas itu. Bagaimanapun, beliau menegaskan kementeriannya kekal komited mempertingkat kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak.

“Sebagai Menteri, apa saja yang kita buat akan dikritik… jadi tidak mengapa, saya bersabar. Nak kecam, nak marah, itu tidak mengapa, saya boleh terima.

“Anda boleh kritik dan kecam saya tetapi jangan lupa kalau ada kanak-kanak di dalam kereta, tolonglah pasang kerusi kanak-kanak demi keselamatan kanak-kanak itu,” katanya memetik laporan Berita Harian.

CRS masih dipandang ringan

Walaupun kerajaan telah mewajibkan pemasangan CRS sejak beberapa tahun lalu, tahap kepatuhan masyarakat masih rendah.

Menurut Loke, tragedi itu seharusnya menjadi iktibar kepada semua pihak bahawa CRS bukan pilihan tambahan, sebaliknya alat perlindungan utama bagi nyawa anak kecil.

Beliau turut menegaskan kementeriannya akan mempergiat kempen kesedaran supaya lebih ramai ibu bapa memahami kepentingan pemasangan kerusi keselamatan dalam setiap perjalanan.

Tragedi Bukit Kajang jadi pengajaran

Kemalangan Sabtu lalu membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang mengakibatkan seorang bayi tercampak keluar dari kenderaan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi. Siasatan awal mendapati bayi itu tidak menggunakan CRS, faktor yang menyumbang kepada tahap kecederaan serius.

Sebelum ini, dalam sidang media pada 2020, Anthony Loke meluahkan rasa kesal kerana masih ada ibu bapa yang tidak menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan. Ketika itu, beliau mengulas insiden membabitkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang tercampak keluar dari kereta dalam kemalangan yang tular di media sosial.

Sidang media yang dipetik dari Malaysia Kini.

Sumber: Berita Harian

Related Posts