Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Bermula 1 Oktober lalu, Kerajaan Malaysia telah mengenakan larangan penggunaan beg plastik sekali pakai di 20 rangkaian kedai raya terbesar, termasuk 99 Speedmart, Aeon, 7-Eleven, TF Value Mart dan Guardian.
Langkah ini adalah sebahagian daripada kempen ‘Say No to Single-Use Plastics’ yang bertujuan untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali pakai dan mengatasi kesan negatifnya terhadap alam sekitar serta pengurusan sisa pepejal.
Namun, tinjauan di media sosial mendapati, sebahagian pengguna meluahkan rasa tidak puas hati dengan pelaksanaan kempen itu. Ini kerana tiada beg alternatif yang mesra alam disediakan seperti beg jinjing dan pengguna menghadapi kesukaran untuk membeli barang dalam kuantiti yang banyak. Meskipun ada premis yang menyedia beg jinjing, tetapi pelanggan dikehendaki membelinya dengan harga yang tinggi.
Berbeza di luar negara, langkah-langkah yang lebih mesra pengguna diambil. Di mana kedai dan pasar raya menyediakan beg jinjing tanpa sebarang caj tambahan. Langkah ini dilihat lebih praktikal dan memudahkan pengguna dalam memastikan keselesaan merea sewaktu membeli-belah.
Ada beberapa individu membidas permintaan disediakan beg jinjing, kononnya hanya alasan untuk tidak membawa beg jinjing sendiri.
Perlu difahamkan bahawa, permintaan sedemikian bukanlah alasan tetapi sudah menjadi lumrah manusia yang adakalanya terlupa. Dalam situasi begini, adanya pilihan alternatif di kedai atau pasar raya akan amat membantu.
Sebelum ini, pelanggan dikenakan caj sebanyak 20 sen untuk satu beg plastik, dalam usaha mengurangkan penggunaan beg plastik. Tetapi, kempen itu dilihat tidak begitu berjaya.








