Nahas pesawat Air India, 241 penumpang maut, hanya seorang terselamat | The Reporter

Nahas pesawat Air India, 241 penumpang maut, hanya seorang terselamat

Vishwash Kumar Ramesh dirawat selepas terselamat dalam nahas pesawat Air India
Vishwash Kumar Ramesh menerima rawatan di hospital selepas menjadi satu-satunya mangsa terselamat dalam nahas pesawat Air India AI171

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Sebuah pesawat Air India yang membawa 242 penumpang dan kru terhempas kurang seminit selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel, Ahmedabad menuju ke London, pada Khamis. Pesawat jenis Boeing 787-8 itu hilang isyarat pada ketinggian 625 kaki sebelum merempuh sebuah bangunan asrama doktor, menyebabkan letupan dan kebakaran besar.

Tragedi itu meragut 241 nyawa di dalam pesawat. Letupan turut menyebabkan kemusnahan kepada struktur bangunan dan mencederakan lebih 100 orang awam di kawasan darat, termasuk penghuni asrama dan penduduk sekitar yang terkesan akibat letupan dan asap tebal.

Vishwash satu-satunya penumpang terselamat

Daripada 242 orang di dalam pesawat, hanya seorang terselamat, Vishwash Kumar Ramesh, 40, seorang warga British yang duduk di kerusi 11A ketika kejadian. Dia mengalami kecederaan di dada, mata dan kaki, namun masih mampu menyelamatkan diri dari tragedi itu.

Menurut Vishwash dalam temu bual bersama Hindustan Times, insiden berlaku hanya 30 saat selepas berlepas.

“Tiba-tiba terdengar bunyi kuat, kemudian pesawat terhempas. Saya tersedar dengan mayat di sekeliling. Saya sangat takut, terus bangkit dan lari,” katanya.

Seorang individu kemudian membantunya ke ambulans untuk dihantar ke hospital.

Vishwash turut memaklumkan abangnya, Ajay, 45, berada dalam penerbangan sama namun duduk di barisan berasingan. Sehingga kini, dia masih belum mengetahui nasib abangnya dan merayu bantuan untuk mencarinya.

Siasatan sedang dijalankan

Pihak Air India memaklumkan juruterbang sempat menghantar isyarat ‘mayday’ sebelum nahas berlaku. Tata Sons, syarikat induk Air India, berikrar memberi pampasan kepada keluarga mangsa dan menanggung kos rawatan untuk mangsa cedera di darat.

Siasatan masih berjalan dan Boeing telah menyatakan komitmen untuk membantu pihak berkuasa India mengenal pasti punca kejadian. – Agensi

Related Posts