MyKiosk Madani dikritik, kos RM34,660 seunit dipersoal | The Reporter

MyKiosk Madani dikritik, kos RM34,660 seunit dipersoal

Kiosk MyKiosk Madani di lokasi yang didakwa kurang strategik dan tidak menarik minat peniaga
Kos seunit MyKiosk Madani cecah sehingga RM34,660, dikritik sebagai tidak berbaloi dan tidak mesra peniaga.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Projek MyKiosk Madani di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) kini menjadi perhatian ramai selepas kos pembinaannya didakwa tidak masuk akal, dengan setiap unit mencecah sehingga RM34,660.

Menteri KPKT, Nga Kor Ming sebelum ini menyatakan bahawa kos satu kiosk hanya sekitar RM25,000. Namun, berdasarkan maklumat daripada KPKT, RM250 juta telah dibelanjakan bagi membina 7,213 unit kiosk, purata kos sebenar setiap satu sebenarnya mencecah RM34,660. Perkara ini mencetuskan persoalan hangat dalam kalangan rakyat, termasuk kritikan tajam di media sosial.

Rata-rata netizen mempersoalkan bagaimana struktur sekecil itu boleh menelan belanja sedemikian, malah ada yang menyindir kiosk berkenaan mungkin diperbuat daripada emas.

Kurang mendapat sambutan

Lebih memburukkan keadaan, MyKiosk dilaporkan kurang mendapat sambutan daripada peniaga tempatan. Antara rungutan yang diterima adalah lokasi kiosk yang dikatakan tidak strategik dan jauh dari kawasan tumpuan orang ramai. Malah, ada yang menyatakan mereka lebih memilih untuk kekal berniaga di tapak asal kerana aliran pelanggan yang lebih baik.

Peniaga juga mendakwa terpaksa menanggung kos permulaan sebanyak RM710 bagi menyewa kiosk tersebut, termasuk deposit, sewa bulan pertama, yuran pendaftaran dan lesen perniagaan. Ini dilihat sebagai satu beban tambahan kepada usahawan kecil yang cuba bangkit selepas pandemik.

Selain itu, reka bentuk kiosk turut menjadi bahan kritikan. Peniaga mengadu ruang dalamannya terlalu panas ketika cuaca terik dan mudah dimasuki air ketika hujan. Reka bentuk yang dikatakan ‘tidak praktikal’ ini menimbulkan persoalan mengenai kualiti serta keperluan sebenar projek tersebut.

Perbandingan turut dibuat dengan projek perumahan rakyat (PPR) di bawah kerajaan terdahulu. Ketika era pentadbiran Najib Razak, kerajaan mampu membina rumah PPR pada harga antara RM30,000 hingga RM40,500 sebuah — lengkap dengan bilik, tandas dan kemudahan asas. Justeru, timbul pertanyaan mengapa sebuah kiosk bersaiz kecil boleh menelan belanja hampir sama.

Dalam pada itu, Menteri Nga menafikan dakwaan bahawa MyKiosk merupakan projek gajah putih. Bagaimanapun, ramai pihak kekal skeptikal, melihat projek ini sebagai satu lagi contoh ketirisan dan pembaziran dana awam yang perlu disiasat lebih lanjut.

Total
0
Shares
Total
0
Share