Kenderaan dipercayai hilang kawalan ketika hujan lebat
Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Sepasang suami isteri maut selepas kereta jenis Ford Mustang yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh dua tiang elektrik dalam nahas di Kilometer 13, Jalan Segamat-Kuantan, berhampiran simpang Felda Pemanis, pada Isnin.
Mangsa dikenali sebagai Mohd Izuddin Harmaini, 51, dan isterinya Nur Syamimi Rosli, 36, yang juga pemilik sebuah kedai emas di Pekan, Pahang. Ketika kejadian sekitar jam 2 petang itu, pasangan terbabit dalam perjalanan dari Kuantan menuju ke Segamat.
Difahamkan, hujan lebat sedang melanda kawasan tersebut ketika nahas berlaku.

Baca juga:
- Remaja lelaki 15 tahun maut dirempuh dua motosikal
- Anggota Trafik cedera dirempuh Hilux ketika iring Delegasi ASEAN
- Kecurian kabel jejas operasi tren laluan Putrajaya

Tersepit dan maut di lokasi kejadian
Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah, kereta yang dipandu Mohd Izuddin dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan merempuh tiang elektrik.
“Rempuhan menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan malam Isnin.

Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Trafik IPD Segamat di talian 07-9325811.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Segamat, Muhd Hazim Abd Razak berkata, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi, dan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dilakukan menggunakan peralatan khas.
Sumber: Harian Metro








