Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu, menyatakan kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir tidak mungkin berpunca daripada terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari koridor tingkat tiga asrama sekolahnya pada 16 Julai lalu.
Dalam keterangannya di Mahkamah Koroner hari ini, beliau berkata dapatan itu dibuat berdasarkan pemeriksaan lokasi dan perbandingan ketinggian mangsa dengan pagar konkrit koridor.
Menurutnya, ketinggian pagar konkrit bersama palang besi mendatar ialah 118 sentimeter, manakala ketinggian Zara Qairina ialah 154 sentimeter. Perbezaan 36 sentimeter itu meletakkan palang lebih tinggi daripada pusat graviti mangsa.
“Saya dimaklumkan ketinggian antemortem si mati ialah 154 cm. Perbezaan antara ketinggian si mati dan palang besi atas ialah 36 cm yang mana ketinggian palang melebihi tiga perempat daripada tinggi si mati dan berada di atas pusat graviti badannya (pada wanita, pusat graviti biasanya di bahagian pelvis, sedikit di bawah pusat).
“Berdasarkan ukuran ini, adalah mustahil si mati terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak ketika berdiri di tepi pagar. Namun, tidak menolak kemungkinan beliau memanjat pagar konkrit, melintasi palang besi dan berdiri di atasnya,” katanya.
Baca juga:
- ‘Jangan paksa kerajaan iktiraf UEC’ – Tok Mat tegaskan soal identiti kebangsaan
- Imigresen serbu restoran popular, 101 pekerja asing ditahan kerana kerja tanpa permit
- Lelaki maut dalam kebakaran unit kondominium di Mont Kiara
Dr Jessie memaklumkan beliau menjalankan pemeriksaan lokasi pada 2 Ogos lalu di Asrama Qurratu A’yun, SMKA Tun Datu Mustapha Limauan, Kinarut, selain meneliti laporan bedah siasat, rekod perubatan serta imbasan sinar-X dan CT.
Berpengalaman sejak 1998, pakar forensik itu secara purata mengendalikan sehingga 150 bedah siasat setahun serta pernah memberi keterangan di Mahkamah Majistret, Sesyen dan Tinggi di Sabah serta Labuan.
Prosiding inkues kematian Zara Qairina berlangsung hari ini dan esok, sebelum bersambung pada 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September serta 22 hingga 30 September ini.
Sumber: Harian Metro








