Seorang pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diumumkan sebagai pemenang Cabutan Jutawan Sijil Simpanan Premium (SSP) ke 102.
Bekas juruterbang pesawat Nuri itu berkata kemungkinan rezeki yang diperolehinya itu asbab dari wakaf RM1,000, Allah gandakan menjadi RM1 juta.
Katanya sebelum ini, ada seorang ustaz meminta bantuannya untuk membayar RM5,000 kepada kontraktor yang membina pagar sebuah sekolah agama.
“Ia kerana individu yang asalnya mahu wakaf pagar itu meninggal dunia. Akaun bank saya ketika itu cuma berbaki RM1,000, tapi saya terus pindahkan wang berkenaan ke akaun untuk bayar duit pagar yang dibina.
“Baki RM4,000 lagi, saya beritahu ustaz akan bayar kemudian. Tak sangka, mungkin kerana asbab saya wakaf RM1,000 itu, hari ini Allah gandakan jadi RM1 juta,” katanya.
Mohd Azhar yang kini bertugas secara kontrak sebagai jurulatih simulator helikopter di Kolej Tentera Udara (KTU) Kepala Batas tidak pernah terfikir dan tidak menyangka menang RM1 juta hasil menabung secara konsisten bersama BSN sejak 2000, sebaliknya hanya mensasarkan hadiah kereta ketika mula menyertai SSP.
Apabila dimaklumkan dia memenangi cabutan RM1 juta, sangkaannya penipuan dalam talian, sehinggalah seorang kakitangan Bank Simpanan Nasional (BSN) menghubunginya.
Sumber: Berita Harian