Mulai 2026 lesen premis lulus jika tandas bersih ikut standard KPKT | The Reporter

Mulai 2026 lesen premis lulus jika tandas bersih ikut standard KPKT

Garis panduan baharu kebersihan tandas sebagai syarat kelulusan lesen premis.
KPKT menetapkan kebersihan tandas sebagai syarat wajib sebelum lesen premis diluluskan. | Sumber gambar: FB Nga Kor Ming

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Mulai tahun hadapan, kerajaan menetapkan bahawa lesen perniagaan hanya akan diberikan kepada premis yang memiliki tandas bersih dan memenuhi standard minimum kebersihan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata ketetapan baharu ini bertujuan merombak standard kebersihan di semua premis perniagaan di seluruh negara.

Pelaksanaan dilakukan secara berfasa mengikut kategori pihak berkuasa tempatan PBT bermula dengan Majlis Bandar Raya pada 2026 diikuti Majlis Perbandaran pada 2027 dan Majlis Daerah pada 2028. Ketetapan ini menjadikan syarat lesen perniagaan tandas bersih sebagai piawaian wajib untuk semua kategori premis.

Baca juga:

Standard BMW wajib Bersih Menawan Wangi

Nga menjelaskan bahawa syarat baharu ini menetapkan tandas premis perlu mencapai standard BMW iaitu Bersih Menawan dan Wangi. Langkah ini adalah sebahagian daripada persiapan negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 kerana pengalaman pelanggan dan pelancong merupakan faktor penting dalam urusan perniagaan.

Garis panduan juga menetapkan nisbah minimum kemudahan tandas iaitu sekurang-kurangnya satu tandas lelaki dan dua tandas perempuan bagi menampung keperluan pengguna terutama ketika musim perayaan dan waktu puncak.

Peruntukan RM180 juta dan TOTYA jadi penanda aras

Bagi memastikan pelaksanaan standard baharu ini berjalan lancar, kerajaan telah memperuntukkan RM180 juta bagi tempoh 2024 hingga 2026 untuk membaik pulih dan menaik taraf tandas awam di seluruh negara. Dalam masa sama, Anugerah Tandas Terbaik TOTYA terus menjadi penanda aras nasional apabila penyertaan meningkat kepada 744 pada tahun ini berbanding 625 pada 2024 dan 345 pada 2023.

Anugerah tersebut turut mengiktiraf pemenang daripada lapan kategori termasuk Masjid Tepian Putra, SJKC Chung Kwok Kuala Lumpur, Tandas Awam Terminal Putrajaya Sentral, Sushi Tie Bintulu, Shell Jalan Hospital Ipoh, R&R Tapah Arah Selatan, NU Hotel Bintulu dan Pavilion Bukit Jalil.

Sumber: Bernama

Related Posts