Ahli Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN), Prof Emeritus Tan Sri Anuwar Ali menggesa kerajaan meneliti semula struktur gaji negara supaya pekerja yang memperoleh pendapatan melebihi kadar gaji minimum tidak terus tercicir daripada menikmati pelarasan gaji secara berkala. Beliau berkata, walaupun gaji minimum kini ditetapkan pada RM1,700 sebulan, mekanisme bagi menyemak gaji pekerja yang menerima pendapatan lebih tinggi masih belum jelas.
Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan ramai majikan hanya memberi tumpuan kepada pelaksanaan gaji minimum tanpa menyemak semula struktur gaji pekerja lain. Akibatnya, golongan berpendapatan sedikit lebih tinggi daripada gaji minimum semakin terhimpit kerana pendapatan mereka hampir tidak berubah walaupun kos sara hidup terus meningkat.
Memetik laporan Berita Harian, Anuwar turut membangkitkan isu penurunan gaji permulaan graduan yang kini semakin menghampiri kadar gaji minimum. Jika sekitar dua dekad lalu graduan baharu berijazah boleh memulakan kerjaya dengan gaji sekitar RM3,500 sebulan, kini ramai hanya menerima antara RM2,000 hingga RM2,500 akibat pertambahan graduan dan tekanan dalam pasaran pekerjaan.
Beliau menyifatkan trend itu sebagai cabaran besar yang perlu ditangani kerajaan Persekutuan dan negeri dengan memastikan pertumbuhan ekonomi mampu mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti. Menurutnya, penekanan terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah langkah yang baik, namun perlu disokong dengan peluang pekerjaan yang setanding dengan kemahiran graduan.
Baca juga:
- Surau Ar-Rayyan tampil konsep mesra autisme, bantu galak anak istimewa solat berjemaah
- MPGN gesa kaji semula struktur gaji negara, elak pekerja terus terhimpit
- Video tular rakam lelaki Amerika pasang lagu Negaraku di depan White House
Peranan pemain indsutri
Selain itu, Anuwar berkata kerajaan dan pemain industri perlu memperkukuh pembangunan industri tempatan melalui inovasi, teknologi dan peningkatan produktiviti bagi mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti. Organisasi seperti FMM dan MEF juga disaran memainkan peranan lebih aktif dalam merangka strategi pembangunan industri yang selaras dengan keperluan pasaran pekerjaan negara.
Beliau turut berpandangan bahawa negara tidak boleh terlalu bergantung kepada pelaburan asing yang kebanyakannya tertumpu kepada industri berintensifkan buruh. Sebaliknya, Malaysia perlu mencontohi kejayaan Korea Selatan yang berjaya membangunkan industri tempatan berasaskan teknologi dan inovasi sehingga menjadi lebih berdaya saing di peringkat global.









