'Bukan sebab dengki' - MP Kota Melaka jawab kenyataan Bos Mydin | The Reporter

‘Bukan sebab dengki’ – MP Kota Melaka jawab kenyataan Bos Mydin

MP Kota Melaka jawab kenyataan Bos Mydin berkaitan SARA dan peniaga kecil
MP Kota Melaka menegaskan isu SARA dibangkitkan bukan kerana dengki, sebaliknya demi memastikan peniaga kecil turut mendapat manfaat.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Ahli Parlimen Kota Melaka (DAP), Khoo Poay Tiong, tampil memberikan penjelasan susulan kenyataan Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin, yang sebelum ini membidas dakwaan berkaitan pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Menerusi satu hantaran di Facebook, Khoo menegaskan kenyataannya di Parlimen tidak bertujuan menyasarkan Mydin semata-mata, sebaliknya membawa mesej lebih besar agar pelaksanaan SARA diperluaskan supaya peniaga kecil dan usahawan mikro turut menikmati manfaat.

“Dalam perbahasan saya, mesejnya sebenarnya ringkas saja. Saya mahu SARA diperluaskan, supaya lebih ramai peniaga, termasuk peniaga kecil, boleh sama-sama dapat manfaat,” katanya.

99 Speedmart turut disebut

Mengulas tanggapan bahawa beliau hanya menyebut Mydin, Khoo menjelaskan perkara itu tidak tepat kerana rangkaian peruncitan lain turut disebut dalam perbahasan berkenaan.

“Sebenarnya, 99 Speedmart pun saya sebut juga. Cuma mungkin bila di Parlimen, ada yang dengar ikut ‘highlight’ masing-masing,” katanya.

Beliau menambah, penyebutan syarikat besar bukanlah kerana sentimen negatif terhadap keuntungan perniagaan, sebaliknya sebagai contoh untuk menjelaskan corak perbelanjaan penerima SARA ketika ini.

Baca juga:

Peniaga kecil berisiko tercicir

Khoo menegaskan beliau tidak mempunyai masalah dengan syarikat besar mencatat keuntungan, malah mengakui ia penting kepada kestabilan ekonomi negara.

“Bukan sebab dengki, bukan sebab tak suka orang buat untung. Kalau syarikat besar tak untung, ekonomi kita pun ada masalah,” jelasnya.

Namun, beliau bimbang pelaksanaan SARA dalam bentuk sedia ada menyebabkan penerima bantuan lebih tertumpu kepada pasar raya besar, sekali gus meninggalkan peniaga kecil dan kedai runcit kejiranan.

Hansard Parlimen jadi rujukan

Petikan hansard Parlimen yang dirujuk menunjukkan Khoo memberi contoh peniaga kecil, termasuk penjual ikan di Kampung Duyong, yang menurutnya wajar diberi peluang sama untuk menerima limpahan manfaat SARA.

Beliau mencadangkan mekanisme lebih fleksibel, termasuk penggunaan e-wallet, supaya wang bantuan boleh digunakan di lebih banyak premis, kecuali bagi barangan tertentu seperti rokok dan minuman alkohol.

“Apa yang saya perjuangkan mudah saja, biar kedai runcit kecil, peniaga kejiranan, usahawan mikro turut boleh masuk dalam ekosistem SARA ini,” katanya.

Khoo turut mengakui gaya perbahasannya di Parlimen kadangkala panjang, namun menegaskan ia mencerminkan keseriusannya dalam memperjuangkan dasar yang lebih inklusif.

Related Posts