Budaya Yeye: ‘Kalau berlaku pada zaman saya, saya sudah tampar’ – MP Ketereh | The Reporter

Budaya Yeye: ‘Kalau berlaku pada zaman saya, saya sudah tampar’ – MP Ketereh

Isu Budaya Yeye dalam kem tentera yang mencetuskan reaksi keras MP Ketereh berhubung disiplin pasukan.
Isu Budaya Yeye mencetuskan reaksi keras MP Ketereh yang menegaskan disiplin dalam kem tentera tidak boleh dikompromi. | Gambar: Parlimen Malaysia

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Kenyataan keras seorang Ahli Parlimen berhubung budaya ‘yeye’ yang tular di media sosial mencuri perhatian Dewan Rakyat apabila beliau menyifatkan perlakuan itu memalukan sehingga wajar dikenakan tindakan fizikal jika berlaku ketika zamannya berkhidmat.

Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh), yang juga bekas pegawai tentera, menegaskan budaya ‘yeye’ sama sekali tidak mencerminkan nilai dan disiplin Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Menurutnya, perbuatan tersebut hanyalah “aktiviti budak nakal” yang mencalar imej pasukan keselamatan negara.

Berbahas dalam Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, Khlir secara terbuka menyuarakan ketegasannya terhadap isu itu.

“Saya harap pemerintah buat satu arahan, hentikan aktiviti budaya ini kerana memalukan. Kalau berlaku (zaman saya), saya sudah tampar (mereka). Tak ada, dengan saya tak boleh main-main. Saya tak suka maksiat,” katanya.

Beliau turut menegaskan, sekiranya insiden sedemikian berlaku semasa beliau berkhidmat sebagai Ketua Perisikan Tentera Darat, tindakan tegas akan diambil tanpa sebarang kompromi.

Baca juga:

Isu berkenaan timbul susulan penularan beberapa gambar dan rakaman video di media sosial yang mendakwa wujud perlakuan tidak wajar serta aktiviti tidak selaras dengan etika perkhidmatan dalam kem tentera.

Mengulas perkara itu, Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin menegaskan Kementerian Pertahanan dan ATM telah lama mengharamkan sebarang kegiatan tidak bersahsiah di semua kem di seluruh negara.

Menurut beliau, peraturan serta garis panduan yang jelas dan tegas telah ditetapkan dan sesiapa yang terlibat dalam kemungkaran moral sehingga merosakkan imej ATM akan dikenakan hukuman serta disingkirkan daripada perkhidmatan.

Sumber: Harian Metro

Related Posts