Motosikal disita, lelaki mengamuk maki penguat kuasa, ditahan polis | The Reporter

Motosikal disita, lelaki mengamuk maki penguat kuasa, ditahan polis

Penunggang motosikal maki penguat kuasa
Foto : Harian Metro

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Padah memaki hamun anggota penguat kuasa, seorang lelaki berusia 50 tahun ditahan dalam operasi bersepadu sempena Operasi Khas Tahun Baharu Cina (TBC) di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam, lelaki tempatan itu yang menunggang motosikal bersama teman wanitanya, seorang warga Indonesia, diperiksa anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Pemeriksaan mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) motosikalnya telah tamat tempoh, menyebabkan ia disita.

Tidak berpuas hati dengan tindakan itu, lelaki tersebut bertindak mengeluarkan kata-kata kesat dan melakukan provokasi terhadap anggota penguat kuasa. Meskipun cuba ditenangkan oleh teman wanitanya, dia berterusan enggan memberi kerjasama, sehingga situasi menjadi tegang lebih setengah jam sebelum ditahan polis.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Zulkifly Ismail berkata, tindakan undang-undang diambil terhadap lelaki itu kerana menghalang tugas penjawat awam.

“Penunggang motosikal itu telah gagal memberi kerjasama kepada penguat kuasa, justeru tindakan diambil terhadapnya.

“Kita mahu masyarakat memahami bahawa operasi ini bukan bertujuan mencari kesalahan atau menghukum sesiapa, tetapi untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Sepanjang operasi itu, sebanyak 31,122 kenderaan telah diperiksa sejak 20 Januari lalu, dengan 4,105 notis dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya yang gagal mematuhi peraturan.

Selain itu, operasi bersepadu selama tiga minggu itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Projek Lebuhraya Utara Selatan Berhad (PLUS).

Sumber: Bernama, Berita Harian

Related Posts