Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang wanita mengaku bersalah atas pertuduhan mencari langganan persundalan di Telegram dengan menggunakan nama Miza Ozawa awal bulan lalu.
Peniaga ubat kuat yang hamil enam bulan itu membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi.
Mengikut pertuduhan, Siti Amiza Baharuddin didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan di sebuah unit kondominium di Bandar Bukit Mahkota, Kajang pada 4 petang, 6 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Rayuan atas faktor hamil enam bulan dan menghidap HIV
Siti Amiza dalam rayuannya meminta denda minimum kerana sedang mengandung enam bulan dan menghidap HIV.
Bagaimanapun, Nurdiyanah tidak menetapkan sebarang jaminan atas pertuduhan itu.
Dalam prosiding sama, Siti Amiza dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM12,500 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu memiliki bahan lucah dan ubat terlarang tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tempat, waktu dan tarikh sama.
Bagi pertuduhan memiliki bahan lucah, Siti Amiza didakwa memiliki bahan-bahan itu yang terkandung dalam komputer riba dan tiga telefon bimbit miliknya yang didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Sementara itu, bagi pertuduhan memiliki ubat kuat tanpa kelulusan KKM, wanita itu didakwa memiliki ubat tidak berdaftar dengan KKM iaitu dua kotak Secret Negro dan dua kotak Dara Jelita yang didakwa melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan melakukan suatu kesalahan di bawah Peraturan 30(1) Akta Jualan Dadah 1952.
Hukuman bagi kesalahan itu memperuntukkan denda maksimum RM25,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
Dikenakan hukuman setimpal
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman memohon hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran atas kedua-dua kesalahan dan hukuman berjalan berasingan.
“Bagi kesalahan di bawah KKM, hukuman denda saja tidak memberi pengajaran dengan mengambil kira faktor kepentingan awam,” katanya.
Siti Amiza dalam rayuannya memohon hukuman setimpal dan denda dikurangkan kerana tidak mempunyai pendapatan selepas wang simpanannya untuk bersalin sudah dirampas pihak berkuasa.
“Saya menyara hidup sendiri di Selangor dan mohon denda seminimum mungkin,” katanya.
Raih pendapatan sehingga RM20,000
Terdahulu, media melaporkan penahanan seorang Wanita di Bandar Bukit Mahkota selepas disyaki terbabit aktiviti promosi seks dan penjualan ubat kuat di laman social. Wanita berkenaan dikatakan mampu meraih pendapatan sehingga RM20,000 sebulan.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) JSJ Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, aktiviti persundalan itu dilakukan wanita terbabit bersama empat lagi suspek yang turut ditahan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, selain mereka, dalangnya, seorang wanita berusia 27 tahun dikenali sebagai ‘Miza Ozawa’ serta dua warga Indonesia termasuk seorang wanita berusia 20 dan 26 tahun.
Katanya, semakan ke atas dalang mendapati suspek utama itu pernah disabitkan kesalahan lampau mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyerang ibunya.
Menurut Mohd Shuhaily, siasatan awal menunjukkan selain menjual produk seks tidak berdaftar dalam talian, mereka juga menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan.
Sumber: Harian Metro