Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
“Syukur alhamdulilah, akhirnya mak masuk Islam, rasa macam mimpi saat ni.”
Itulah luahan penuh sebak Pempengaruh Muhammad Mikhael Sathayah, atau lebih dikenali sebagai ‘Muka Gangster yang berkongsi detik bersejarah apabila ibunya akhirnya memeluk Islam.
Menerusi video yang tular di TikTok, Mikhael berkongsi perjalanan hidupnya sebagai seorang mualaf yang sentiasa menyimpan doa agar ibunya menerima hidayah untuk turut memeluk agama Islam.
“Mak, pengorbanan Mak besar sangat. Ketika kita mencari jiwa, Mak benarkan kita masuk Islam. Tak ada balasan yang dapat dibalas, Mak. Terima kasih, Mak,” katanya dalam nada sebak.
Menurutnya, selama tujuh tahun menjadi mualaf, beliau tidak pernah berani mengajak ibunya memeluk Islam. Namun, doa yang dipanjatkan setiap kali mengerjakan umrah akhirnya dimakbulkan Allah SWT.
“Ketika di Tanah Suci, saya hanya mampu berdoa, Ya Allah, berikanlah hidayah kepada ibuku. Bukalah pintu hatinya,” ujarnya.
Mikhael turut mengimbas bagaimana ibunya tetap menyokong dan menyayanginya biarpun dia berdepan cemuhan serta tekanan daripada keluarga sendiri selepas bergelar Muslim.
“Dengan kecaman dan ancaman daripada keluarga sendiri, yang kata kalau masuk Islam kena tukar nama bapa, macam-macam. Tapi dengan doa Mak, saya dapat berkahwin dengan menantu yang benar-benar sayangkan Mak,” katanya lagi.
Baca juga:
- Mikhael luah rasa syukur ibu lafaz syahadah
- ‘Sanggup letak mentua dalam lokap’ – Adik ipar Prince Syed
- VIDEO | Prince Syed cedera dipukul, ibu bapa mentua antara 4 ditahan
Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada isterinya, Murni Azwa, yang sentiasa memberi sokongan moral dan menjadi jambatan kasih antara dirinya dan ibunya.
“Terima kasih, sayang. Terima kasih, Murni Azwar, menantu yang sangat baik dan memberikan segala kebahagiaan,” ujarnya.
Katanya lagi, ibunya yang sebelum ini mengalami masalah kesihatan sering menjadi sumber kekuatan untuknya meneruskan kehidupan, dan beliau tidak sanggup membayangkan kehidupan tanpa ibunya di sisi.
“Saya tak nak kehilangan Mak. Saya nak Mak sentiasa bersama saya. Saya ajak Mak masuk Islam sebab saya nak kita bersama,” katanya sambil menahan sebak.
Akhirnya, berkat doa dan usaha yang tidak pernah putus, ibunya melafazkan syahadah dengan bimbingan seorang ustaz, menandakan permulaan baru dalam hidup mereka sebagai keluarga Muslim.
“Rasanya semuanya berjalan dengan hidayah Allah. Memang hebat, tak sangka begitu mudah Allah berikan hidayah kepada Mak kita. Selamat kembali kepada fitrah, Mak,” katanya.









