Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi puji disiplin jemaah Malaysia, contoh kepada dunia | The Reporter

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi puji disiplin jemaah Malaysia, contoh kepada dunia

Menteri Agama, Datuk Mohd Na’im Mokhtar bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabiah
Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi memuji disiplin jemaah haji Malaysia. Gambar: Facebook Dato’ Setia Dr. Naim

Disiplin dan akhlak terpuji jemaah haji Malaysia terus menjadi kebanggaan apabila menerima pujian daripada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabiah, yang menyifatkan jemaah Malaysia sebagai contoh terbaik dalam kalangan umat Islam dunia.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, dalam satu kenyataan susulan pertemuan empat mata beliau bersama Dr. Tawfiq baru-baru ini.

“Kalau semua jemaah haji dunia seperti Malaysia, saya dah boleh tidur lena,” ujar Dr. Tawfiq sebagaimana dikongsikan oleh Datuk Mohd Na’im.

Menurut Datuk Mohd Na’im, pujian ini bukan hanya ditujukan kepada Tabung Haji, selaku badan pengurusan haji negara, tetapi juga kepada seluruh jemaah Malaysia yang sentiasa menonjolkan disiplin tinggi, kebersihan, serta akhlak Islamiah yang terpuji sepanjang berada di Tanah Suci.

“Alhamdulillah, pujian ini bukan hanya untuk Tabung Haji tetapi buat seluruh jemaah Malaysia yang sentiasa menunjukkan disiplin, kebersihan dan akhlak Islamiah yang menjadi contoh kepada dunia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar reputasi cemerlang ini terus dikekalkan, khususnya ketika berada di Arafah, Muzdalifah dan Mina kelak.

“Kita bukan sekadar menunaikan ibadah, tetapi juga membawa nama baik negara dan Islam,” ujar beliau.

Related Posts