Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mendakwa beliau telah dilabel dan ditandai oleh Pejabat Kawalan Perjalanan atau “Travel Control Office/ Order” (TCO) oleh pihak berkuasa sejak pertengahan tahun lalu.
Jelasnya, situasi beliau seolah-olah seperti seorang penjenayah berbahaya yang dikaitkan dengan satu sindiket atau atau persona non grata – di tanah air sendiri.
Dalam satu kenyataan, beliau berasa kecewa dengan situasi ini yang kononnya dilaksanakan atas nama untuk keselamatan negara.
“Saya sangat kecewa dengan keadaan ini. Ia bukan sekadar label, tetapi saya di “tahan” dan dibawa ke tepi, satu panggilan akan dibuat dan perlu mendapat persetujuan satu cawangan khusus sebelum dibenarkan keluar dari kawalan sempadan, untuk setiap kali keluar-masuk sempadan, walaupun sekadar ke Sabah dan Sarawak sejak suku ketiga tahun 2024.
“Status ini membolehkan segala pergerakan, komunikasi, dan interaksi seseorang dipantau secara menyeluruh, senyap, dan berterusan. Ia dilaksanakan atas nama “untuk keselamatan negara” atau “untuk kestabilan politik”, tetapi realitinya sering digunakan sebagai alat politik dan cara mudah untuk untuk mengumpul maklumat politik pihak lawan, sebagai usaha untuk mengawal dan menekan suara tertentu,” katanya.
Talian telefon dipintas
Beliau turut mendedahkan panggilan telefon beliau juga dipintas yang membolehkan sesetengah pihak dapat mengetahui isi perbualan beliau dengan individu tertentu terutamanya pimpinan politik.
“Inilah realiti harian yang saya hadapi. Dengan perkembangan teknologi canggih hari ini, mereka mungkin juga cuba mengetahui isi perbualan saya dengan individu tertentu, terutama pimpinan politik.
“Adakah telefon saya dipintas? Sudah tentu. 100%. Adakah saya diikuti ke mana-mana saya pergi, walaupun atas urusan peribadi ? Sudah tentu. Tanpa ada keraguan,” tambahnya lagi.
Tidak akan berdiam diri
Dalam pada itu, beliau juga mendedahkan seorang lagi tokoh utama pembangkang juga berdepan dengan situasi sama. Justeru itu katanya, beliau tidak akan berdiam diri dalam isu yang dianggap sebagai penyalahgunaan sumber kerajaan.
“Sudah tentu saya dan rakan berkenaan tidak akan berdiam diri.Penyalahgunaan sumber kerajaan sebagai senjata politik seperti ini – satu trend yang merosakkan kebebasan peribadi dan merubah struktur negara yang sepatutnya bersifat adil.
“Jika ini dibenarkan berleluasa, saya tidak hairan jika instrumen yang sama juga sedang digunakan terhadap orang awam, NGO, badan bebas, dan sesiapa sahaja yang mempunyai pandangan yang tidak sehaluan dengan parti pemerintah. Mungkin sedang digunakan pada masa ini.
“Dan seperti biasa, alasan yang diberi adalah “demi keselamatan negara” dan ianya adalah untuk kepentingan awam – walaupun hakikatnya ia hanyalah demi kelangsungan politik semata-mata,” katanya lagi.








