Mat Sabu cadang tukar nama UPM, Sultan Selangor beri teguran - The Reporter

Mat Sabu cadang tukar nama UPM, Sultan Selangor beri teguran

Mat Sabu cadang tukar nama UPM

Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.


Cadangan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu untuk menukar semula nama Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada nama asalnya, Universiti Pertanian Malaysia, telah mencetuskan perbincangan meluas di kalangan rakyat dan pihak berkepentingan.

Menurut Mohamad Sabu, beliau akan membawa cadangan itu ke Mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat bagi menyesuaikan semula nama universiti itu dengan fokus semasa negara terhadap isu keterjaminan makanan dan perubahan iklim global.

“Saya fikir sudah tiba masanya kita mengembalikan nama asal universiti ini sebagai Universiti Pertanian Malaysia, selaras dengan peranan pertanian yang semakin menjadi tumpuan dunia,” katanya.

Bagaimanapun, cadangan tersebut menerima teguran daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang bertitah bahawa cadangan itu tidak dirujuk kepada baginda selaku Tuanku Canselor UPM dan Lembaga Pentadbir universiti.

Baginda menegaskan bahawa nama UPM yang ada sekarang telah diberi makna besar iaitu ‘Putra’ sebagai akronim untuk “Pertanian Untuk Rakyat.” Selain itu, baginda turut menyatakan nama tersebut diambil sempena Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Dalam reaksi lain, rakyat turut menyuarakan pandangan di media sosial. Seorang pengguna menyatakan, perubahan nama tersebut akan melibatkan kos yang tinggi seperti menukar papan tanda, surat rasmi, dan sijil universiti, yang sepatutnya boleh digunakan untuk memperkasakan fungsi universiti itu.

“Ta tukar pun tak apa. Nanti banyak pula duit nak kena buat untuk rebranding ni. Signboard semua nak kena tukar, surat rasmi segala sijil nak kena buat baru. Lebih elok perkasakan saja fungsi universiti itu,” tulis seorang pengguna Twitter.

Seorang lagi menyatakan bahawa langkah itu tidak menyelesaikan isu lebih besar seperti kekurangan beras tempatan di pasaran.

“Tukar nama macam mana pun, tetap beras tempatan tiada di pasaran. Jangan alih perhatian,” katanya.

Sumber: Bernama, Sinar Harian

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!